Foto: Sinar Harian
Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman yang menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan 3 sebatan ke atas Da’i Syed menyifatkan tindakan pendakwah selebriti itu yang didapati bersalah merogol seorang wanita sebagai satu tindakan yang tidak dapat diterima akal.
Artikel Berkaitan: Da’i Syed Menangis Dipenjara 10 Tahun & 3 Sebatan Kerana Merogol, Sempat Peluk Isteri Berpantang
Tindakan tak masuk akal
Memetik laporan Berita Harian, Norazlin ketika penghakimannya memaklumkan bahawa, tindakan Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful itu juga tidak wajar dilakukan kerana telah mempergunakan mangsa yang lemah.
Bukan itu sahaja, hukuman yang diterimanya itu juga akan memberikan kesan kepada orang awam terutama masyarakat Islam di negara ini.
Mahkamah mengambil kira peranan yang sering dimainkan oleh tertuduh dalam memberikan ceramah agama dan motivasi.
Mahkamah juga mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana membabitkan wanita dan kehormatan.
Pastinya mangsa mengalami trauma kerana perlu kumpulkan kekuatan untuk tampil membuat laporan dan melalui setiap proses perundangan yang panjang dan bukan mudah, kejadian ini akan terus berada dalam ingatan mangsa hingga akhir hayat.
Tambah Norazlin, Da’i Syed selaku tertuduh juga gagal untuk menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.
Pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya berlaku.
Pihak pendakwaan membuktikan bahawa tertuduh adalah orang yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa pergi ke rumahnya.
Selain itu, mangsa yang lemah dan lurus bendul dibuktikan tidak boleh membuat keputusan serta melawan tertuduh ketika kejadian.
Hakim tolak penangguhan hukuman
Selepas selesai dibacakan pertuduhan, Timbalan Pendakwa Raya iaitu Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon agar hukuman berat dikenakan ke atas Da’i Syed atas faktor berlakunya kekerapan kes rogol yang semakin berleluasa.
Kredibiliti tertuduh yang mempunyai latar belakang agama dipandang tinggi namun dia menggunakan kedudukan itu untuk mengambil kesempatan ke atas mangsa.
Saya memohon hukuman penjara tertuduh sekurang-kurangnya selama 12 tahun.
Peguam yang mewakili Da’i Syed iaitu Syed Amirul Syed Edros kemudiannya memohon agar pelaksanaan penangguhan hukuman dipertimbangkan atas faktor anak guamnya itu sudah berkahwin dan baru saja menimang cahaya mata baru berusia 16 hari.
Ini kesalahan pertama tertuduh, justeru saya memohon penangguhan hukuman dan akan memfailkan rayuan. Jika tertuduh berada dalam penjara, ia menimbulkan kesan signifikan.
Walau bagaimanapun, Norazlin menolak permohonan penangguhan itu kerana merasakan tiada keadaan khas untuknya mempertimbangkan permohonan tersebut dan menjatuhi hukuman penjara selama 10 tahun buat Da’i Syed yang akan berkuat kuasa bermula hari ini.
Kes ini membabitkan mangsa yang masih muda dan kesan trauma itu akan terus berada dalam ingatannya sehingga akhir hayat.
Justeru, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bukan saja pengajaran kepada tertuduh malah bagi orang awam lain secara keseluruhannya.
Sekadar info, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Da’i Syed daripada pertuduhan merogol selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan pada 10 April tahun lalu.
Namun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya memerintahkan Da’i Syed untuk membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan pada 7 Mac 2024.
Untuk rekod, Da’i Syed didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) dalam sebuah bilik di kondominium di i-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Jika didapati bersalah, pemenang tempat keempat program Da’i boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang dijalankan bermula April 2022 dan Syed Shah Iqmal sebagai satu-satunya saksi pembelaan.
Sumber: Berita Harian