berita

Sebar Berita Fitnah Dua Pegawai Kesihatan, KKM Buat Laporan Polis

January 14th, 2020 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Baru-baru ini telah viral satu perkongsian oleh seorang lelaki di Facebook yang mendakwa terdapat dua orang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kesihatan tiba di rumahnya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Sehubungan dengan itu lelaki yang didakwa penyamar itu telah mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Terbaru, menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya telah menegaskan bahawa berita yang telah tersebar itu adalah fitnah semata-mata. Pihak KKM kecewa kerana individu tersebut tidak memberi kerjasama dengan penjawat awam yang menjalankan tugas. KKM turut memuji kedua anggota tersebut kerana tidak bertindak luar batasan walaupun difitnah dan tidak diberi kerjasama.

KKM buat laporan polis

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang telah merakam gambar dan memfitnah dua kakitangan kami ketika sedang bertugas.

KKM memandang serius perbuatan ini dan telah membuat laporan polis kerana mengganggu tugas penjawat awam dan memfitnah. Pada hari kejadian iaitu 9 Jan 2020, dua kakitangan kami ini sedang melakukan Active Case Detection (ACD) bagi Malaria.

Dua kakitangan kami ini telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan kad kuasa kepada penghuni rumah dan melakukan siar raya menggunakan kenderaan jabatan sebelum aktiviti ACD dijalankan.

Justeru, tindakan merakam gambar, menfitnah dan menyebarkan di media sosial adalah satu kesalahan serius dan amat dikesali.

Bangga dengan dua pegawai itu

KKM amat berbangga dengan dua kakitangan ini iaitu seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (dahulu dikenali sebagai Inspektor Kesihatan) dan Pembantu Kesihatan Awam yang sabar dan tidak bertindak di luar batasan sebagai kakitangan awam walaupun dilayan secara tidak adil serta difitnah.

Jika ia melibatkan isu keselamatan, orang awam boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau pihak Polis jika merasa ragu-ragu dan bukannya bertindak seperti ini.

KKM berharap kes ini menjadi pengajaran kepada orang awam supaya tidak bertindak keterlaluan kepada kakitangan awam yang bersungguh-sungguh melaksanakan tugas yang diamanahkan demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat semua.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×