Siapa sangka dalam masa selang sehari, dua insan tersayang iaitu bayi yang baru dilahirkan dan isteri pergi selamanya menghadap Ilahi. Kisah sedih ini dikongsikan menerusi Facebook Mr Wan Cai yang menceritakan seorang suami yang baru sahaja kematian anak pertamanya semasa dilahirkan dikejutkan dengan kematian isteri.
Tambah menyedihkan lagi, arwah isteri bagai sudah mengetahui yang dia bakal meninggal dunia semasa melahirkan anak. Arwah telah berkongsi satu penulisan di Facebook miliknya berkenaan dengan risiko meninggal ketika bersalin. Selain itu, arwah telah memesan kepada suami siapa yang perlu menguruskan jenazahnya nanti.
Sering ikuti perkembangan Mr Wan
Saya terpanggil untuk menulis tentang kisah jenazah ke-116 arwah Norsyafiqah Syazwani binti Mohammad. Arwah Berumur 23 tahun dan tinggal di Sri Jasmin Mantin. Rasanya anda perasan suami arwah ada mengatakan diperbualan whatsapp yang dihantar kepada saya subuh tadi. Katanya arwah ini rajin mengikuti perkembangan di page Mr Wan Cai.
Rajin dibelek belek page itu setiap kali status dimuat naik oleh saya. Saya boleh katakan arwah berminat dengan kisah kisah kematian dan pengalaman sepanjang saya dan rakan rakan UKJV menguruskan jenazah. Cuma sewaktu saya sedang live dan meminta si suami memberi sepatah dua kata sebagai tanda terima kasih kepada penyumbang yang terlibat dengan kutipan kilat.
Seloroh isteri sebagai satu wasiat
Saya terkaku bila si suami mengatakan arwah isterinya pernah berseloroh kepada nya. Jika arwah pergi dulu minta UKJV yang uruskan jenazahnya. Saat itu saya seperti tergamam. Jadi dalam hati saya bertekad untuk mengambil seloroh si isteri sebagai satu wasiat yang perlu saya tunaikan.
Ketika itu juga saya tidak boleh lihat ke arah muka si suami yang bercakap dalam keadaan tidak dapat menahan sebak. Sambil mengambil video sambil saya memandang ke arah lain untuk menggelak dari turut sama menangis. Berjujai jujai air mata si suami yang gugur. Di lap air mata yang gugur itu dengan tangan berulang ulang kali.
Lepas anak, isteri pula kembali menghadap-Nya
Ceritanya, 29 sept 2019 si ibu melahirkan bayi pertama mereka yang kemudiannya meninggal dunia selepas 10 minit dapat melihat dunia. Kematian si bayi berpunca dari si ibu yang tiba tiba sesak nafas ketika sudah bersedia untuk melahirkan anak. Akibat dari sesak nafas itu si bayi turut sama kelemasan kerana tidak cukup bantuan oksigen didalam perut. Selamat dilahirkan tidak sampai 10 minit bayi si ibu tidak dapat diselamatkan oleh doktor yang bertugas. Si bapa redha dan pulang ke jengka untuk menguruskan jenazah bayi syurganya.
Ketika si bapa menguruskan jenazah anak di kampung. Si isteri pula sedang bertarung nyawa dan koma hospital Seremban. Akhirnya si isteri juga pergi mengadap sang pencipta pada 1 okt 2019 sebelum subuh tadi. Ketika saya terima panggilan dari si suami saya lihat jam hampir pukul 6 pagi. Jadi perbualan antara saya dan si suami seperti yang sudah saya kongsikan pagi tadi.
Bagai terima petunjuk
Malam ini saya tergerak hati untuk melihat posting posting yang dikongsikan diruangan komen si suami dan si isteri. Saya terjumpa satu posting yang dishare oleh si ibu sendiri tentang risiko meninggal semasa bersalin. Status itu bertarikh 28 julai bersamaan hampir 2 bulan sebelum arwah meninggal dunia pagi tadi.
29 sept si anak yang dilahir meninggal dunia. Gambar bayi yang siap dikafan saya ambil dari akaun facebook milik si suami. Memberitahu bayi pertamanya sudah tiada dan telah dikebumikan. Manakala isterinya masih koma di wad hospital seremban. Di status bertarikh 29 sept itu si suami meminta agar rakan rakannya berdoa agar isterinya kembali sedar.
Pagi tadi si isteri pula sudah tidak bernyawa. Luluhnya hati tidak boleh saya bayangkan. Dalam masa 24 jam kehilangan dua insan yang disayangi. Bagaimana agaknya jika kita yang berada ditempat si suami?
Ujian berat buat si suami
Ketika saya menulis tentang kisah sedih ini. Jenazah si isteri baru sahaja dimasukkan ke dalam liang lahad. Disemadikan ditanah perkuburan jengka 2 pahang. Syahidnya seorang isteri dan ibu.
Pasangan yang baru di ijab kabul kan pada 2 nov 2018 akhirnya hari ini ditakdirkan berpisah jua. Si isteri berpisah menemui sang pencipta. Tinggal lah si suami keseorangan berada di alam dunia. Bayi pasangan ini pula setia menunggu dipintu syurga.
Saya anggap seloroh si isteri sebagai wasiat kepada saya dan rakan rakan. Wasiat yang diamanah oleh si ibu telah saya atur sebaik mungkin bersama sukarelawan UKJV yang ada. Dari urusan mengambil jenazah arwah,mandi dan kafan serta penghantaran ke tanah perkuburan dijengka telah saya tunaikan sebaik yang mungkin.
Wang sumbangan lebih dari cukup
Untuk urusan mandi dan kafan telah disempurnakan oleh unit bilal jenazah UKJV seperti yang diwasiatkan oleh arwah kepada saya. Peralatan dan pakaian terakhir untuk arwah digunakan dari infaq orang ramai sebelum ini. Tiada kos untuk mandi dan kafan kerana niat kami kerana allah taala. Walau ada waris yang memberi saya tolak berkali kali.
Kekal tetap dengan pendirian menguruskan jenazah arwah adalah satu wasiat kepada kami. Untuk kos minyak dan tol dari Seremban ke Klang dari Klang ke Jengka Pahang disumbangkan :-
RM300 dari rakan unit taskforce dan adiknya. RM50 dari seorang sukarelawan UKVJ yang juga berasal dari Pahang. RM150 dari seorang rakan berasal dari seremban yang juga pemilik akaun Facebook atas nama Tapak Gajah. Jumlah yang di terima untuk kos penghantaran jenazah ke Jengka berjumlah RM500. Lebih dari mencukupi.
Ujian untuk orang yang hebat
Allah permudahkan segala urusan jenazah ke-116. Allah permudahkan urusan saya dan semua sukarelawan yang bertungkus lumus bertugas hari ini dari pagi hingga ke malam! Syukur Alhamdulillah! Amanah yang diberi kepada saya sudah selesai.
Buat si suami. Saya katakan ujian hebat ini untuk orang yang juga hebat. Allah uji kerana Allah sayangkan si suami. Nasihat saya, dekatkan diri dengan yang maha Esa. Hanya itu sahaja jalan keluar yang untuk mengubat duka yang ada!
Sumber: Mr Wan Cai Official