Semalam penyanyi kelahiran Singapura, Bella Astillah berkata dirinya terbuka untuk menerima semula bekas suami, Aliff Aziz selepas sah bercerai sejak tahun lalu. Perkhabaran terbaharu yang dibuat penyanyi kecil molek itu bagaimanapun tidak disenangi segelintir netizen serta pengikutnya lebih-lebih lagi apabila timbulnya banyak kontroversi melibatkan Aliff sebelum ini.
Susulan daripada pelbagai kritikan yang diterima olehnya itu, Bella telah memuatnaik status di laman Instastory miliknya bagi menyatakan pendirian berhubung perkara tersebut.
Menyedihkan
Menerusi status yang dimuatnaik oleh Bella, dia seolah-olah meluahkan kekecewaannya terhadap sikap segelintir netizen yang bertindak mengkritik sebarang keputusan yang cuba dilakukan olehnya.
Kata penyanyi itu, lebih menyedihkan apabila segelintir daripada mereka hanya mempunyai pemikiran serta persepsi negatif tatkala mereka sebenarnya tidak mengetahui perihal yang sebenar.
Agak menyedihkan apabila sesetengah orang sangat cemburu dengan kamu dan mereka hanya ada perkara negatif untuk diperkatakan tanpa mengetahui apa-apa pasal kamu.
Ini adalah perkara biasa pada hari ini. Semoga Allah menjaga lidah kita dari berkata yang tidak elok kepada orang lain.
Saya lagi tahu apa yang terbaik
Selang beberapa minit kemudian, Bella kemudiannya turut memuatnaik satu lagi status yang lain di laman Instastorynya. Menurut Bella, tidak ada sesiapa boleh menghalang dirinya daripada membuat sebarang keputusan yang telah diputuskan olehnya.
Bahkan penyanyi itu berkata setiap keputusan yang diambil olehnya itu telah difikirkan semasak-masaknya malah dia juga bersedia untuk menanggung segala ‘dugaan’ yang akan datang kelak.
Niat dan sebab hanya saya dan keluarga yang tahu. Saya akan membantu sepenuhnya.
Katanya, dia juga lebih mengetahui apa yang terbaik buat dia dan anak lelakinya, Aydeen.
Sumber: Instagram Bella Astillah