Walaupun filem genre aksi Jiwa 8 Belas belum ditayangkan di pawagam, namun syarikat penerbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd bakal muncul dengan sekuelnya yang masih dalam perancangan lagi.
Artikel Berkaitan: Sophia Albarakbah Gementar Bawa Watak Mangsa Rogol – ‘Jika Naskhah Boleh Naikkan Nama Saya, Tak Salah Mencuba’
Punyai kekuatan
Menurut penerbit dan pengarah filem, S Baldev Singh, pihaknya yakin untuk menghasilkan sekeul kerana percaya naskhah tersebut akan mendapat sambutan dan maklum balas yang positif dari penonton.
Kami sudah buat yang terbaik dan barisan pelakon memberi komitmen terbaik merealisasikan filem ini.
Selebihnya, saya serah kepada penonton untuk menilainya dan juga pada Tuhan. Kalau sudah ada bajet, bila-bila masa pun kami boleh mulakan projek sekuel filem ini.
S Baldey berkata, filem Jiwa 8 Belas, mempunyai kekuatan yang tersendiri dari segi jalan cerita dan mesej untuk disampaikan pada penonton.
Tambahnya lagi, filem itu memaparkan kisah anak luar nikah dan sebagai ibu bapa, kita perlulah mengawal anak remaja yang berusia 18 tahun daripada terjebak dalam gejala sosial.
Jiwa 8 Belas mengetengahkan barisan pelakon seperti Sophia Albarakbah (Fatien), Shah Hazvee (Ishq) dan Izuan Razali (Mat Kitam) sebagai watak utama.
Pemilihan barisan pelakon menerusi proses uji bakat dan ketika itu, nama mereka juga belum dikenali ramai.
Penggambaran filem ini dijalankan pada tahun 2020 lagi.
Ujar penerbit dan pengarah yang berusia 61 tahun itu, dia menerbitkan filem ini dengan duitnya sendiri dengan bajet mencecah RM1 juta tanpa mendapatkan dana daripada mana-mana pihak.
Sebagai pengarah berpengalaman, saya tidak berdepan cabaran bekerjasama dengan pelakon baharu kerana apa yang penting, mereka boleh dibentuk dan bekerja keras untuk watak masing-masing.
Saya berpuas hati dengan prestasi lakonan Sophia, Shah Hazvee dan Izuan kerana berjaya menjiwai karakter dengan baik.
Filem Jiwa 8 Belas turut menampilkan barisan pelakon seperti Ikhram Juhari (Edd), Kanda Khairul (Kanda), Akim Nordin (Kucai), Faha Azhar (Botak), A Galak (Kudin), Datuk Fauziah Nawi (emak) dan Datuk Jalaluddin Hassan (Atok Li).
Ia mengisahkan pasangan kekasih melalui pengalaman pahit apabila mereka diculik oleh sekumpulan samseng yang memperdagangkan wanita ke Thailand.
Filem Jiwa 8 Belas mula ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula Khamis, 18 Januari ini.