Kumpulan-kumpulan konvoi motosikal mahupun kereta sentiasa memilih Genting Highland sebagai destinasi mereka untuk berkumpul. Viral di media sosial satu video yang memaparkan seorang anggota polis bantuan Genting Highland yang menyatakan bahawa pihak pengurusan tidak lagi membenarkan mana-mana kumpulan kereta mahupun motosikal yang berkonvoi untuk menaiki puncak gunung terbabit.
Konvoi ke Genting tidak dibenarkan
"Buat masa sekarang ni, pihak management Genting Highlands tak benarkan mana-mana grup konvoi: motorsikal, superbike, atau motor kapcai ataupun kereta-kereta sport, melalui ataupun berkunjung ke Genting Highlands. Atas faktor: ada grup-grup yang naik ke atas, dah buat kecoh." pic.twitter.com/FnJJCQRitm
— ?? XI????? (@RimauXI) July 5, 2020
Menerusi rakaman video yang dimuat naik Twitter RimauXI, anggota polis bantuan telah menegaskan bahawa mereka yang berkumpulan ataupun konvoi tidak lagi dibenarkan melalui serta berkunjung ke Genting Highland. Peraturan itu termasuk dengan semua jenis motosikal mahupun kereta tidak kira jenis berkuasa tinggi ataupun tidak.
Sering menggangu pengunjung lain
Pentadbir Polis Bantuan Genting Highland, Iwan ketika dihubungi OHBULAN mengesahkan kesahihan video tersebut. Menurutnya, peraturan baru itu telah dilaksanakan sejak 25 Jun yang lalu. Namun, tempoh berakhirnya peraturan itu masih belum dapat dipastikan.
Peraturan baru itu ditetapkan kerana kumpulan-kumpulan itu dikatakan berlumba sebelum sampai ke puncak serta sering mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam. Selain itu sesetengah individu dari kumpulan itu dikatakan menggangu pengunjung lain dan sentiasa memenuhi ruang lobi hotel untuk melepak.
Sumber: RimauXI