berita

Selalu Dibuli & Dipukul, Individu Bunuh Bapa Saudara, Sorok Mayat Dalam Longkang Kilang

February 8th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Kosmo

Gara-gara tidak tahan kerana sering dibuli, seorang lelaki berusia 21 tahun bertindak agresif dan nekad membunuh bapa saudaranya. Kejadian ngeri ini akhirnya terbongkar selepas ada individu mendakwa menemui mayat yang sudah reput di dalam longkang di sebuah kilang yang terletak di Taman Perindustrian Ringan Juru, Pulau Pinang.

Tak tahan kena buli, pukul

Foto: Sinar Harian

Memetik laporan Bernama, suspek yang merupakan warga Bangladesh itu dipercayai sering dimarahi, dibuli dan dipukul oleh bapa saudaranya (mangsa). Oleh hal demikian, suspek yang hilang kawalan terus bertindak membunuh mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Ab Samad, sebelum kejadian, telah berlaku salah faham antara mereka sehingga membuatkan suspek memukul mangsa sehingga mati.

Selain itu, suspek mendakwa, bapa saudaranya juga sering marah-marah serta memukulnya jika ada sesuatu yang dia (mangsa) tidak berpuas hati…sebelum kejadian (bunuh) mereka dipercayai bertengkar sebelum bergaduh sehingga suspek memukulnya (hingga mati).

Suspek kemudian dipercayai bertindak menyembunyikan mayat bapa saudaranya di dalam longkang di tepi bangunan sebuah kilang yang juga merupakan tempat mereka berdua bekerja sejak lima bulan lalu.

Selamba pergi kerja macam biasa

Selepas bertindak sedemikian, suspek dikatakan telah pergi kerja seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Malah, dia juga langsung tidak melaporkan kepada sesiapa mengenai ‘kehilangan’ bapa saudaranya sejak 15 Januari lalu. Namun, segala-galanya terbongkar selepas pengurus kilang terbabit menemui mayat mangsa di dalam longkang sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Pihak polis juga menemui beberapa bahan bukti seperti pisau, tukul besi dan sebatang besi yang berada berdekatan dengan mayat terbabit. Susulan daripada itu, suspek yang mengaku perbuatannya kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Kesekesaan iaitu membunuh.

Sumber: Bernama, Sinar Harian

SKIP THIS AD ×