Seorang remaja perempuan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkap dapur rumah di tingkat enam sebuah pangsapuri di Puchong Utama, malam tadi (Ahad).
Artikel Berkaitan: Terjatuh Dari Tingkat 11, Kanak-Kanak 12 Tahun Patah Tangan Kiri
Artikel Berkaitan: Terjun Dari Tingkat 28, Wanita Ditemui Maut Tersangkut Di Tingkat 20 Kondominium
Terjun tingkap dapur
Difahamkan, mayat remaja berusia 13 tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 11.21 malam sebelum menghubungi pihak berkuasa berhubung insiden mengejutkan itu.
Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, telah menerima panggilan telefon dari orang awam pada pukul 11.21 malam semalam mengenai kejadian tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pihaknya turut menjumpai beberapa keping nota dengan tulisan tangan yang dipercayai milik mangsa. Tambah Wan Azlan, nota berkenaan menunjukkan remaja perempuan itu ingin membunuh diri kerana tertekan dengan layanan ahli keluarga terhadapnya.
Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah, mangsa telah terjatuh dari tingkap dapur rumah dan telah meninggal di tempat kejadian.
Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik itu dikatakan telah dimarahi ibunya kerana bermain telefon bimbit tanpa kebenaran dan sering keluar malam.
Sementara itu, kes disiasat di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR) oleh Ketua Polis Balai Bukit Puchong dan bedah siasat akan dijalankan oleh Pegawai Perubatan Hospital Serdang selepas pemeriksaan di tempat kejadian oleh patologi forensik.
Sumber: Kosmo