Terbaru, Selangor telah mengharamkan merokok termasuk rokok elektronik dan minum minuman keras di taman awam di seluruh negeri itu berkuat kuasa serta merta. EXCO Kerajaan Tempatan mengumumkan larangan tersebut dimasukkan ke dalam senarai kesalahan Undang-Undang Kecil Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor.
Negeri pertama kuat kuasa larangan
Dengan pindaan UUK Taman 2005 ini, Selangor menjadi negeri yang pertama di Malaysia yang melarang meminum arak dan merokok di taman-taman permainan serta taman-taman rekreasi di seluruh negeri ini.
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata kegiatan tersebut tidak dinyatakan dalam senarai kesalahan di UUK Taman.
Menurut Sze Han lagi, Selangor telah menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengeluarkan larangan tersebut dengan pindaan UUK Taman 2005 itu.
Saman maksimum RM1,000
Sebagai permulaan, kita mungkin memberi amaran terlebih dahulu sebelum tindakan saman dikenakan kepada pelaku.
Aktiviti gaya hidup sihat sudah menjadi amalan dan keutamaan rakyat dan disebabkan itu taman permainan dan taman rekreasi semakin kerap dipenuhi orang dan demi keselesaan dan kesihatan pengunjung taman permainan dan taman rekreasi, sudah tiba masa untuk melarang aktiviti tersebut dilakukan mengikut UUK Taman.
Saman maksimum sebanyak RM1,000 akan dikenakan kepada pengunjung yang ingkar dan penguatkuasaan undang-undang berkenaan akan dilaksanakan oleh PBT.
Operasi akan diadakan oleh penguat kuasa PBT dari semasa ke semasa dan aduan juga boleh dibuat kepada PBT jika melihat salah laku berlaku di taman awam.
Sumber : Berita Harian