berita

Selepas 10 Hari Bertarung Nyawa, Mangsa Keracunan Puding Buih Pertama Meninggal Dunia

June 3rd, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang wanita berusia 25 tahun di Terengganu disahkan meninggal dunia selepas 10 hari bertarung nyawa akibat keracunan puding buih yang telah dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu.

Kematian merupakan kes pertama

Menerusi laporan yang dipetik daripada Berita Harian, mangsa telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 10:40 pagi tadi (3 Jun 2020) ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Menurut sumber, mangsa meninggal dunia disebabkan berlakunya kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, kematian ini merupakan kes pertama yang terjadi disebabkan keracunan puding buih. Difahamkan, ianya berpunca daripada telur tamat tempoh yang digunakan oleh pengusaha untuk mengadun makanan tersebut.

Tindakan kepada peniaga juga sudah diambil. Cuma nasihat saya kepada peniaga makanan di seluruh negara supaya menitik berat aspek kesihatan, terutama pemeriksaan kesihatan dan sebagainya. Mesti bersih bagi memastikan tidak ada apa-apa penyakit.

Kerajaan rangka SOP

Sementara itu, Dr Alias Razak turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada semua peniaga yang menjual makanan dari rumah supaya menjaga kebersihan.

Selain itu, jangan gunakan barang yang sudah tamat tempoh kerana ini membabitkan nyawa manusia. Kita tidak tahu walaupun penyakit ini nampak biasa dan tidak membawa maut tetapi apa-apa boleh berlaku.

Kesemua pesakit lain yang dirawat di HSNZ dan hospital swasta akibat keracunan puding buih telah beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat.

Salam takziah


Sumber: Berita Harian, Wan Emilia

SKIP THIS AD ×