Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi lagu Someone Like You dan Skyfall, Adele Laurie Blue Adkins atau lebih dikenali sebagai Adele. Pada April tahun ini, kisah rumah tangganya bersama suami Simon Konecki menjadi hangat apabila dia mengumumkan perpisahan selepas 7 tahun bersama.
Terbaru pada hari ini, menerusi laporan people.com, Adele dilaporkan telah memfailkan dokumen penceraian terhadap suaminya selepas tiga tahun berkahwin.
Fail penceraian pada Khamis
Menurut laporan itu, Adele telah memfailkan penceraian pada Khamis lalu di Los Angeles selepas lima bulan pasangan tersebut berpisah.
Hasil sepanjang bersama, mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia enam tahun bernama Angelo.
Mula bersama sejak 2011
Jom imbas balik kisah percintaan pasangan ini.
Adele dan Konecki mula bercinta sejak 2011 namun pasangan itu merahsiakan hubungan mereka.
Laporan Berita Harian menyebut pada Jun 2012, pasangan itu mengumumkan bakal menimang cahaya mata pertama yang akan dilahirkan pada Oktober tahun sama.
Kemudian timbul spekulasi yang menyatakan mereka telah melangsungkan perkahwinan secara rahsia pada 2016 selepas dilihat memakai cincin sepadan.
Adele umum berkahwin pada 2017
Adele kemudiannya mengesahkan berita mereka sudah berkahwin ketika Anugerah Grammy ke-59 pada Februari 2017 di mana beliau memanggil Konecki suaminya dalam ucapan penerimaan anugerah Album Sepanjang Tahun.
Namun apa yang menyedihkan pada April lalu, wakil penyanyi itu mengeluarkan satu kenyataan kepada The Associated Press (AP) dan mengumumkan perpisahan bersama suaminya selepas tujuh tahun bersama.
Adele dan pasangannya sudah berpisah. Mereka komited membesarkan anak lelaki mereka secara bersama dengan penuh kasih sayang. Seperti biasa, mereka memohon diberi privasi. Tiada komen lanjut.
Sumber: people.com, The Associated Press (AP), Berita Harian