berita

Selepas Gagal Diselamatkan, Akhbar Utusan & Kosmo Henti Operasi Bermula Hari Ini

October 9th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Sebelum ini, syarikat Utusan Melayu (M) Berhad berdepan dengan kemelut besar apabila ia hampir ditutup selepas dikatakan mengalami masalah kewangan sehingga tidak mampu membayar gaji para pekerjanya. Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan, syarikat itu akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar, Utusan Malaysia dan Kosmo.

Namun hari ini, Malaysiakini melaporkan dua akhbar di bawah syarikat itu iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo akan menghentikan operasinya bermula hari ini susulan daripada masalah kewangan yang tidak mampu ditangani.

Tak mampu untuk diselamatkan

Menurut portal tersebut, perkara itu diketahui melalui satu memo dalaman bertarikh 9 Oktober 2019.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Abdul Aziz Sheikh Fadzir menerusi memo tersebut berkata, syarikat itu tidak lagi mampu meneruskan perniagaan mereka meskipun telah cuba pelbagai cara untuk menyelamatkannya.

Susulan itu katanya, syarikat itu akan memberhentikan operasi mereka berkuatkuasa 9 Oktober 2019 iaitu pada hari ini.

Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuatkuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019, manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019.

Penjualan Utusan dan Kosmo merosot

Menurut Abuld Aziz seperti yang tercatat dalam memorandum itu, dia berkata keputusan tersebut perlu dibuat selepas mendapati edaran bagi kedua-dua akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo semakin merosot.

Malah, syarikat itu juga dikatakan gagal menghasilkan iklan mengikut sasaran yang ditetapkan iaitu RM4 juta sebulan dan terpaksa berdepan dengan pelbagai tindakan perundangan.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin.

Antara langkah yang diambil ialah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka.

Ini merupakan pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagi kelangsungan syarikat.

Gaji tak dibayar ikut masa

Tambah Abd Aziz, selain gagal untuk membayar gaji pekerja mengikut masa, syarikat itu juga gagal untuk menjelaskan hutang yang kini semakin tertunggak.

Syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

Sehubungan itu, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).

Sumber: Malaysiakini, Sinar Harian

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×