berita

Semua Masjid, Surau di Selangor Dibenarkan Solat Jumaat Mulai 3 Julai

July 1st, 2020 | by Amat
Kini Trending

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPK) dilaksanakan, rumah ibadat seperti masjid atau surau juga ditutup untuk sebarang urusan termasuk menunaikan solat Jumaat. Namun, melihat kepada draf kes yang semakin menurun, kerajaan melonggarkan SOP bilangan jemaah menunaikan solat di masjid.

Terbaru, Sultan Selangor iaitu Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan semua masjid dan surau dibuka kepada jemaah untuk mendirikan solat Jumaat. Kebenaran itu akan berkuatkuasa mulai 3 Julai 2020.

Boleh mendirikan solat 5 waktu

Sultan Selangor juga berkenan untuk semua masjid dan surau di sekitar Selangor dibuka semula untuk mendirikan solat fardu 5 waktu secara berjemaah. Bagaimanapun, jemaah perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sultan Sharafuddin disembah taklimat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dari masa ke semasa berkaitan kedudukan dan data terkini wabak COVID-19 di Selangor.

Sultan Selangor berkenan semua masjid dan surau dibuka untuk mendirikan solat Jumaat dengan mengambil maklum perkembangan terbaharu wabak COVID-19.

Seramai 1,000 orang

Jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan fardu telah ditetapkan seramai 1,000 orang. Bilangan ini adalah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid. Antara masjid yang dinyatakan adalah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan fardu di semua masjid lain ditetapkan maksimum pada 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan.

Jumlah kehadiran jemaah di Surau Kebenaran Solat Jumaat bagi mendirikan solat Jumaat dan fardu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau manakala di surau untuk Solat Fardu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Ibadah korban boleh dilaksanakan di masjid

Sementara itu, Baginda bertitah ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha juga boleh dilaksanakan di masjid sahaja.

Bagi surau yang merancang melakukan ibadah korban, boleh melaksanakannya di masjid berdekatan. Segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran secara terperinci berkaitan titah terbaharu Sultan Selangor ini akan dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta jawatankuasa masjid dan surau berkaitan.

Baginda menitahkan supaya setiap jemaah wajib mematuhi SOP ditetapkan oleh JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka ketika hadir di masjid, surau serta mengamalkan penjarakan sosial. Bagi mereka yang tidak sihat dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di masjid dan surau.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor

SKIP THIS AD ×