berita

‘Semua Minta Maaf, Semua Dah Tiada’ – Ibu 3 Mangsa Maut Belum Tahu Anak Meninggal Dunia

December 18th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Tiga beradik dilaporkan meninggal dunia sebaik sahaja kereta yang dipandu ibu mereka hilang kawalan sebelum berpusing dan melanggar bahagian belakang lori kontena di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Simpang Pulai, semalam.

Artikel berkaitan: Dipercayai Terbabas Sebelum Rempuh Lori, Seorang Ibu Kehilangan 3 Anak Sekelip Mata Dalam Kemalangan

Menerusi laporan Berita Harian, bapa kepada tiga beradik tersebut seboleh-bolehnya mahu merahsiakan kematian anaknya daripada isteri tercinta.

Masih belum sedarkan diri

Menurut Muhammad Alhafis Mohamad, isterinya iaitu Nur Aimi Nadiah masih belum sedarkan diri dan belum mengetahui mengenai nasib yang menimpa ketiga-tiga anak mereka.

Bila isteri sudah sedar, mungkin saya akan tunggu masa yang sesuai untuk beritahu mengenai kematian anak-anak. Seboleh-bolehnya saya tak nak beritahu dulu. Saya minta maaf, saya minta maaf, semua dah tiada.

Sebagai seorang bapa, Alhafis tidak mampu menahan sebak atas pemergian ketiga-tiga anaknya. Mengulas mengenai dakwaan bahawa isterinya pergi ke Melaka atas urusan mahkamah bagi menyelesaikan isu peribadi antara mereka berdua, Alhafis memaklumkan bahawa dakwaan tersebut tidak benar. Bahkan, isterinya datang ke Melaka untuk bercuti dan berjumpa dengannya atas urusan keluarga memandangkan dia menetap dan bekerja di negeri tersebut.

Jenazah tiga beradik yang terkorban dalam kemalangan tersebut telah dibawa pulang ke Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka untuk urusan pengebumian. Ketiga-tiga jenazah tersebut dipercayai sudah dimandi, dikafan dan disolatkan di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi) Superintenden Mohamed Nordin Abdullah, memberitahu bahawa insiden tersebut berlaku pada pukul 3.50 petang dan mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Pulau Pinang. Tambah beliau lagi, kereta yang dipandu Nur Aimi Nadiah dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing dan melanggar bahagian belakang lori kontena yang berada di lorong kecemasan pada ketika itu.

Sumber: Berita Harian

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×