Nama Safawi Rasid kian melonjak lebih-lebih lagi selepas kejayaannya meledakkan dua biji gol yang sekali gus menghadiahkan kemenangan buat Malaysia ketika perlawanan menentang Indonesia baru-baru ini. Bakat luar biasa pemain muda itu turut mendapat perhatian seorang kanak-kanak sehingga dia memasang angan-angan untuk bertemu Safawi secara empat mata.
Impian kanak-kanak yang merupakan seorang yatim piatu itu nampaknya menjadi kenyataan apabila pemain tersebut meluangkan masa untuk bertemunya di hospital, kelmarin.
Ibu bapa maut dalam kemalangan
Apa yang memilukan, menerusi laporan Bernama, kanak-kanak bernama Muhammad Danish Irfan dan enam lagi adik-beradiknya yang lain baru sahaja menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam sebuah kemalangan pada 4 Oktober lalu.
Akibat daripada kemalangan itu, Danish telah mengalami kecederaan kritikal.
Menurut ibu saudaranya, Shaidah Idris, Danish seorang murid yang begitu aktif dalam sukan terutama bola sepak. Bagaimanapun, kanak-kanak berumur 11 tahun itu terpaksa melupakan minatnya apabila terlantar di hospital hampir dua bulan.
Memang meminati Safawi
https://www.facebook.com/shahiful.mohdshah/videos/pcb.2577886832250514/2577882182250979/?type=3&theater
Tambah wanita itu, anak saudaranya sememangnya meminati corak permainan yang dipamerkan Safawi.
Katanya, perasaan untuk bertemu dengan pemain itu lebih tinggi selepas menonton perlawanan antara Malaysia dan Indonesia yang berlangsung baru-baru ini.
Dia memang meminati corak permainan Safawi dan keinginannya untuk bertemu Safawi semakin membuak-buak setelah menonton perlawanan antara Malaysia dan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas.
Alhamdulillah, impiannya tercapai apabila Safawi sudi datang menziarahnya pagi semalam. Walaupun Muhammad Danish Irfan tidak boleh bercakap dengan lancar, dari raut wajahnya terpancar rasa gembira yang sukar digambarkan apabila bertemu idolanya itu.
Hasrat kanak-kanak itu dimaklumkan kakak ipar
Safawi dalam pada itu berkata beliau mengetahui tentang hasrat kanak-kanak itu melalui kakak iparnya yang kebetulan bekerja sebagai doktor di Hospital Dungun.
Kakak ipar beritahu yang kanak-kanak itu banyak kali sebut nama saya dan kebetulan pula saya baru sahaja balik bercuti di kampung malam semalam sementara menunggu permulaan pramusim Liga Malaysia (Liga M).
Walaupun adik Danish tak dapat bercakap banyak, beliau masih dapat mengenali saya dan ada jugalah sedikit kata-kata semangat yang saya sampaikan kepadanya.
Kata pemain itu, beliau ke hospital tersebut dengan ditemani seorang daripada adiknya dan menghabiskan masa lebih setengah jam bagi bertanya khabar serta menemani kanak-kanak malang berkenaan.
Sumber: Bernama, Facebook Shahiful Mohd Shah