Sesetengah di antara kita kurang peka dan tidak ambil peduli mengenai alat pemangkin asap dikenali sebagai catalytic converter yang dipasang pada sistem ekzos kenderaan. Tahukah anda, pemangkin asap amat penting untuk menukar gas beracun iaitu karbon monoksida kepada karbon dioksida.
Perlu dilengkapi catalytic converter
Menurut pakar kimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Dr Darfizzi Derawi menerusi laporan Harian Metro, gas karbon dioksida kurang berisiko berbanding karbon monoksida yang mampu membunuh anda dalam senyap. Gas karbon monoksida dianggap lebih berbahaya kerana ianya bersifat tidak berbau dan tidak boleh dilihat.
Karbon monoksida tidak dapat dilihat dengan penglihatan mata kasar kerana gas tersebut terhasil daripada aktiviti pembakaran separa kerana kekurangan oksigen.
Kita lihat beberapa kes kematian yang berlaku sebelum ini membabitkan kereta berhenti atau tidak bergerak, namun enjin serta penghawa dingin masih terpasang.
Justeru, setiap kenderaan mesti dilengkapi dengan catalytic converter yang cekap pada sistem ekzos. Ia akan menjadi gas karbon monoksida bertukar kepada karbon dioksida yang kurang kandungan toksik.
Penghasilan karbon monoksida
Tambah Dr Darfizzi lagi, berdasarkan beberapa kes sebelum ini didapati kes membabitkan kenderaan berusia 5 tahun ke atas. Kemungkinan besar alat catalytic converter sudah tidak berfungsi dengan bagus.
Catalytic converter yang tidak berfungsi dengan cekap juga mengakibatkan gas karbon monoksida tidak boleh ditukar kepada karbon dioksida dengan secara menyeluruh. Selain itu, sistem ekzos yang mengalami kebocoran juga dilihat lebih berisiko.
Kebocoran sistem ekzos boleh berlaku atas pelbagai sebab seperti terhentak di jalan dan sebagainya. Ia akan menjadi risiko tinggi jika kita memberhentikan kenderaan tanpa menutup enjin dan kekurangan oksigen di persekitaran seterusnya boleh berlaku lebih banyak penghasilan karbon monoksida.
Bukalah tingkap
Sementara itu, Dr Darfizzi berkata pemandu yang tertidur di dalam kereta dengan penghawa dingin dan enjin terpasang tidak menjadi masalah. Apa yang penting adalah sistem catalytic converter perlu berfungsi dengan baik.
Tetapi jika kita rasa was-was, bukalah tingkap. Namun, itu bukanlah pilihan baik untuk menyelesaikan masalah pelepasan gas karbon monoksida.
Buka tingkap pun, sebenarnya gas CO itu tetap akan masuk dan berada dalam ruangan kenderaan jika sistem catalytic converter tak efisyen.
Sumber: Harian Metro