berita

‘Setiap Perkataan Beliau Menjadikan Saya Tersenyum & Sayang Padanya’ – Mufti Perlis

May 8th, 2020 | by faris
Kini Trending

Dato’ Ismail Kamus meninggal dunia awal pagi tadi 8 Mei 2020 sekitar jam 12.30 pagi di kediamannya di Ampang. Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut berkongsi pengalamannya yang pernah bersua dengan arwah suatu ketika dulu.

Hadir jemputan makan hormati ketokohan

Semasa saya di sekolah menengah lagi, suara beliau yang selalu berkumandang dalam kaset kaset ceramah. Gurau senda beliau menjadi ajukan ramai. Beliau mendidik orang ramai dalam gurauan dan sindiran mesra.

Saya tidak mengenali beliau secara rapat. Namun, saya pernah mendapat jemputan makan oleh beliau 7 tahun lalu. Saya bukan hadir hendak makan tapi hadir menghormati ketokohan dan sumbangan beliau.

Antara yang saya ingat dan menarik hati saya ialah walaupun beliau kurang sihat ketika itu, beliau tetap bersembang tentang poligami dan bagaimana beliau mengamalkannya. Di situ nampak kemampuan beliau mengendalikan para isteri. Ia menjadikan kami yang lebih muda ketika itu tersenyum dan terhibur. Setiap perkataan beliau menjadikan saya tersenyum dan rasa sayang padanya.

Tokoh penting pada zamannya


Setiap kita bak kata orang Arab merupakan ‘ibnu zamanihi’ atau ‘anak zamannya’. Ia bermaksud keadaan kehidupan pada sesuatu zaman akan mempengaruhi pengalaman dan pendekatan dalam kehidupan seseorang.

Maka, kita dapati pendekatan setiap tokoh berdasarkan konteks kehidupan di zamannya. Maka, janganlah kita yang datang kemudian menilai seseorang tokoh dengan penilaian di zaman kita. Maka, kita hargai setiap tokoh dengan melihat sumbangan mereka di waktu dan persekitaran di mana mereka menjalankan kehidupan ketika itu.

Al-Fadhil Dato’ Ismail Kamus rahimahulLah merupakan tokoh penting pada zamannya. Sumbangan beliau mempunyai kesan yang tersendiri dalam perkembangan dakwah masyarakat kita. Kita yang ada mewarisi sumbangan tokoh seperti beliau.

Kita menghargai mereka, dalam masa yang sama mengakui bahawa masih ada ruang yang perlu dipenuhi dan diisi. Bahkan juga, mungkin dikemaskini. Pemergian beliau merupakan rukun kehidupan iaitu setiap yang hidup mesti mati.

Kita yang masih hidup ini mendoakan kebaikan atas sumbangan dan jasa. Kita juga mendoakan keampunan untuk beliau, itulah yang dituntut untuk kita lakukan. Kita menyayangi orang-orang yang berjasa dalam mengajak kita ke jalan ALLAH. Mudah-mudahan dengan doa dan sayang kita kepada mereka ALLAH berikan kebaikan untuk kita.

Sumber: Dr MAZA

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×