Penulis lirik dan komposer meningkat naik, Iqie Hugh meluahkan rasa terkejut serta teruja apabila lima buah lagu ciptaanya berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38).
Artikel Berkaitan: [VDEO] ‘Saya & Komposer Berhak Menarik Diri Daripada Semi Final Muzik-Muzik’ – Ernie Zakri Buka Mulut Isu Lagu Astana
Artikel Berkaitan: #SFMM38: ‘Tahun Ini Giliran Jangan Mati Rasa Itu, Saya Bawa Semangat Satu Lori Ainations’ – Aina Abdul
5 karya dicalonkan
Lagu-lagu tersebut adalah Waktu, Tusuk, Ilusi, Racun dan Kalam sekali gus menyaksikan Iqie mendominasi pencalonan pada edisi kali ini.
Ketika ditemui OhBulan! Iqie berkata dia tidak menyangka apabila karyanya diangkat dan diberi peluang untuk bertanding di pentas separuh akhir.
Alhamdulillah bersyukur sangat apabila lima buah lagu saya berjaya layak ke SFMM38. Saya sendiri tidak diberitahu apa-apa. Awalnya mereka maklumkan dua buah lagu sahaja.
Tiba-tiba lagu saya disebut lagi dan lagi. Teruja dan sangat dihargai apabila lagu ciptaan sendiri layak. Lagu yang layak pun atas pilihan juri dan peminat yang undi. Tidak sangka sama sekali.
Iqie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman 30 buah lagu yang layak ke SFMM38, yang diadakan di Jiospace, Damansara baru-baru ini.
Ketika disoal mengenai harapan untuk ke pentas Anugerah Juara Lagu, komposer berusia 29 tahun itu menjawab dia tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
Untuk lima lagu ini saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, namun kalau layak ke AJL, bersyukur sangat dan anggap itu rezeki.
Saya tidak mahu terlalu berharap sepertimana saya letak harapan yang tinggi pada lagu Sembah nyanyian Naim Daniel pada edisi yang lalu, kemudian lagu itu tidak berjaya ke pentas AJL. Nanti saya kecewa.
Berkongsi lanjut mengenai penglibatan dalam dunia penulisan dan mencipta lagu, Iqie menjawab dia mula berjinak sejak dibangku sekolah lagi.
Mula berjinak dengan penulisan lagu sejak sekolah menengah lagi, tapi secara rasmi menulis lirik pada tahun 2019.
Saya bukan datang dari pelajar jurusan muzik, tetapi mula terjebak mungkin disebabkan ahli keluarga semua suka bermain muzik. Muzik merupakan hobi kami semua.
Mungkin sebab itu, dari kecil sudah dapat pendedahan. Saya punya asas alat muzik adalah gitar. Tidak pernah belajar secara profesional.
Berikut merupakan lima lagu ciptaan Iqie bersama beberapa komposer lain yang layak ke SFMM38.
1. Waktu (Hasif Upin & Ziana Zain – Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat).
2. Tusuk (Shiha Zikir – Iqie Hugh & Omar K/Iqie Hugh & Omar K)
3. Ilusi (Marsha Milan Ft Hazama – qie Hugh, Shazreq Azeman & Omar K/Iqie Hugh, Shazreq Azeman & Omar K)
4. Racun (Elica Paujin Ft Dem Lepak Boyz – Iqie Hugh & Aniq Iffat/Iqie Hugh & Aniq Iffat)
5. Kalam (Shiha Zikir – Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat)
SFMM 38 yang dihoskan oleh Izzue Islam dan Fiza Frizzy bakal bersiaran secara langsung selama tiga hari berturut-turut bermula 15 Disember hingga 17 Disember ini dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam jam 3 petang.