Penyanyi, Nabil Razali dilihat gagal menahan sebak sebelum menitiskan air mata di saat lagu duet nyanyiannya bersama Khai Bahar yang berjudul ‘Selagi Ku Ada’ diumumkan sebagai salah satu lagu yang layak ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38).
Artikel Berkaitan: #SFMM38: Amir Jahari Sebak Lagu ‘Hasrat’ Layak Ke AJL38 – ‘Lagu Itu Dibuat Waktu Dapat Berita Arwah Ayah Diserang Kanser’
Terharu lagu nyanyian sendiri layak ke AJL38
Ketika ditemui OhBulan!, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali berkata, tangisannya itu adalah kerana dia berasa sangat terharu dengan penat lelah yang dilakukannya sebelum ini.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama dirinya menyanyikan lagu sendiri di saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) sebelum layak ke AJL38.
Ini kali pertama saya jejakkan kaki ke pentas SFMM (menyanyikan lagu sendiri). Sebelum ini hanya lagu saya yang layak ke SFMM dinyanyikan oleh penyanyi lain.
Jadi bila SFMM38 kali ini, saya sendiri yang menyanyikan lagu nyanyian saya bersama Khai Bahar tanpa sebarang penyanyi gantian sebab itulah saya menangis.
Tak tahu nak cakap macam mana, perasaan itu bercampur baur dan tentunya saya gembira sangat.
Alhamdulillah, berkat usaha semua orang yang terlibat lagu duet saya dan Khai Bahar berjaya mara ke AJL39.
Nabila berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media hari terakhir SFMM38 di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam.
Ketika ditanya mengenai kualiti nyanyiannya yang semakin baik, penyanyi berusia 31 tahun tersebut memberikan kredit kepada guru vokalnya yang banyak memberikan tunjuk ajar sekaligus membantu memperbaiki kualiti nyanyiannya.
Saya tak mahu ambil kredit ke atas diri saya seorang, sudah tentu kredit itu diberikan kepada guru vokal saya Shaffiq Erwin.
Tidak lupa juga kepada pasukan saya yang sentiasa menjaga kesihatan saya dan sebagainya.
Pada saya, saya tak mahu momentum nyanyian saya berubah. Saya nak momentum itu sentiasa meningkat dan Alhamdulillah kualiti nyanyian saya lebih baik dari sebelum ini dan mendapat pujian.
Insya-Allah, ia akan terus diperbaiki lagi pada masa akan datang.
Sekadar info, lagu duet nyanyian Nabila bersama Khai Bahar yang berjudul ‘Selagi Ku Ada’ berjaya menempa tiket bersama 11 lagu lain ke AJL38 yang dijadualkan berlangsung pada 3 Mac 2024.
Antara lagu lain yang layak termasuklah Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul), Astana (Ernie Zakri), Darah (Marsha Milan) dan Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain).