berita

#SFMM38: Amir Jahari Sebak Lagu ‘Hasrat’ Layak Ke AJL38 – ‘Lagu Itu Dibuat Waktu Dapat Berita Arwah Ayah Diserang Kanser’

December 18th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Penyanyi, Amir Jahari dilihat menitiskan air mata selepas lagunya yang berjudul ‘Hasrat’ terpilih dalam 12 lagu yang layak ke saingan Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38).

Artikel Berkaitan: #SFMM38: Amir Jahari Dedah Alami Kemurungan, Pernah Cuba Terjun Jambatan 3 Kali – ‘Alhamdulillah Saya Tak Teruskan’

Lagu ditulis untuk arwah bapa

Ketika ditemui OhBulan!, Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari berkata, dirinya menangis disebabkan terlalu sedih mengenangkan lagu tersebut dihasilkan sewaktu mendapat perkhabaran mengenai bapanya yang menghidap penyakit kanser beberapa tahun lalu.

Saya sedih sebab saya buat lagu ini sewaktu dapat tahu ayah saya dapat sakit kanser dan ayah saya telah meninggal pada tahun lepas.

Saya buat lagu ini pada tahun 2018 dan waktu itu saya sendiri mengalami kemurungan sehinggalah ambil keputusan untuk berhenti menyanyi pada tahun 2020. Waktu itu saya berdepan dengan masalah kesihatan mental.

Tapi mungkin rezeki saya sebab ada permintaan dari pihak filem ‘Imaginur’ untuk buat lagu dan waktu itulah saya gambarkan bagaimana keadaan ayah saya sekiranya dia meninggal.

Jadi, sebab itulah saya menitiskan air mata kerana lagu ini menggambarkan perkara yang paling saya tak nak bayangkan terjadi.

Amir berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada hari terakhir saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38).

Dalam pada itu, penyanyi berusia 31 tahun ini mendedahkan bahawa dirinya akan sebak dan menangis setiap kali menyanyikan lagu ini secara langsung di hadapan orang ramai.

Sebenarnya setiap kali saya menyanyikan lagu ini di mana-mana sekali pun, saya akan menitiskan air mata tetapi sewaktu di saingan SFMM38, saya perlu kuat sebab kalau saya nangis tak dapatlah saya sampaikan lagu ini dengan baik.

Tetapi lepas sahaja selesai buat persembahan, saya terus sebak di belakang pentas.

Ketika ditanya mengenai perasaan layak ke saingan AJL38, Amir berkata dia berasa sangat bersyukur dengan pencapaian ini namun menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

Saya sangat bersyukur, Alhamdulillah dan ini menggambarkan apa yang saya lalui sebelum ini sewaktu saya mempertandingkan lagu ‘Tanpamu’.

Namun, sehingga ke hari ini saya tidak meletakkan apa-apa harapan pada duniawi dan manusia. Sesungguhnya, saya meletakkan harapan sepenuhnya pada Allah SWT.

Sebelum keputusan pun saya dah cakap dengan diri, kalau dapat layak Alhamdulillah, kalau tak dapat pun Alhamdulillah.

Sekadar info, lagu ciptaan Amir berjudul Hasrat berjaya menempa tiket bersama 11 lagu lain ke AJL38 yang dijadualkan berlangsung pada 3 Mac 2024.

Antara lagu lain yang layak termasuklah Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul), Astana (Ernie Zakri), Darah (Marsha Milan) dan Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain).

SKIP THIS AD ×