Penyanyi Aina Abdul meluahkan rasa syukur dan gembira apabila lagu ciptaannya berjudul Jangan Mati Rasa Itu layak ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38).
Artikel Berkaitan: #SFMM38: ‘Komposer & Syarikat Label Boleh Tukar Penyanyi, Asalkan Bawa Dengan Baik’ – Penerbit Eksekutif
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aina Abdul Jawab Dakwaan Bayaran Mahal – ‘Saya Disiapkan Oleh Pasukan Yang Perfectionist, Jadi Setimpal’
‘Giliran Jangan Mati Rasa Itu’
Ketika ditemui OhBulan!, Aina berkata lagu tersebut merupakan karya miliknya yang paling lama pernah menduduki carta Muzik-Muzik berbanding empat buah lagu lain iaitu Sumpah, Semalam, Sepi dan Terus Hidup.
Justeru, Aina mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak henti mengundi lagu tersebut.
Saya sangat terharu apabila lagu Jangan Mati Rasa Itu merupakan lagu milik saya yang paling lama pernah menduduki carta Muzik-Muzik berbanding lagu yang pernah dicalonkan sebelum ini, alhamdulillah.
Saya adakala terlupa juga untuk ingatkan Ainations untuk undi, sebab tahun ini agak sibuk dengan konsert dan menyiapkan album. Tetapi terima kasih kepada Ainations yang melakukan kerja mereka dan terus undi saya.
Ainations yang ingin melihat saya di pentas AJL, jadi saya buat sehabis baik untuk terus hasilkan karya dan membanggakan mereka semua.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman 30 buah lagu yang berjaya ke SFMM38 yang diadakan di Jiospace, Damansara, baru-baru ini.
Dalam pada itu, ketika disoal adakah lagu Jangan Mati Rasa Itu bakal mengulangi kejayaan Terus Hidup, Aina menjawab dia meletakkan soal rezeki pada Allah.
Jelasnya apa yang ingin ditampilkan adalah karya yang dihasilkan.
Kejayaan itu rahsia Allah, tetapi semangat saya untuk bertanding setiap tahun itu lebih kepada semangat berkarya. Saya bawa semangat satu lori yang terdiri daripada semangat pasukan saya dan peminat iaitu Ainations.
Memasuki AJL adalah satu pentas yang sentiasa saya nantikan kerana ingin mempamerkan nyanyian saya, pakaian yang akan digayakan dan teruja untuk tunjukkan karya yang saya bertukang untuk tahun ini, giliran Jangan Mati Rasa Itu.
Sementara itu, penyanyi berusia 30 tahun itu turut menyifatkan lagu Jangan Mati Rasa Itu merupakan karya yang ‘berat’.
Jangan Mati Rasa Itu saya anggap karya yang sangat inovatif dari seorang Aina Abdul. Lagu ini lebih berat berbanding empat lagu yang sebelum ini pernah masuk AJL.
Aina bakal tampil pada hari pertama saingan SFMM38 iaitu pada 15 Disember ini.
SFMM 38 yang dihoskan oleh Izzue Islam dan Fiza Frizzy bakal bersiaran secara langsung selama tiga hari berturut-turut bermula 15 Disember hingga 17 Disember ini dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam jam 3 petang.