Penyanyi Datin Alyah berpendapat untuk memperoleh keharmonian dalam rumah tangga, seseorang itu perlu menukar niatnya daripada mencintai pasangan kepada mencintai Allah.
Artikel Berkaitan: Alyah Kembali Cergas Selepas Jalani Pembedahan Bariatrik
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Alyah Kesal Wajah Disamakan Dengan Isteri Kedua Pengarah Terkenal ‘Terpaksa Pula Ikut Muka Budak Tu Padahal Kita Lahir Dulu’
Menetapkan niat yang betul
Menurut Alyah, dia bersyukur apabila bahtera perkahwinan yang dibina bersama maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS yang awalnya diuji dengan pelbagai dugaan akhirnya menemui kebahagian selepas dia menukar niatnya.
Saya sentiasa berdoa dan siapa sangka rumah tangga yang mulanya dibina penuh ribut taufan, tsunami dan pelbagai lagi, tetapi akhirnya Allah bagi kegembiraan dan kehormanian rumah tangga.
Kerana apa? Pertama sekali mesti niat berkahwin untuk mencintai pasangan kan, tapi diuji dengan banyak sangat masalah, itu sebenarnya tanda dari Allah untuk datang kepada-Nya.
Tukarkan arah itu, daripada mencintai suami bagai nak mati, perlu lebih mencintai Allah. Jadi saya ubah arah itu, setiap hari saya mendengar dan membaca untuk tambahkan ilmu dan kurang main media sosial. Akhirnya bahagia.
Alyah berkongsi mengenai pendapatnya itu sewaktu menjawab pertanyaan daripada netizen ketika melakukan sesi siaran langsung di TikTok, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Kisah Hati itu berkata dia mengambil pendekatan untuk tidak selalu berkongsi mengenai hal rumah tangga dalam media sosial.
Menurut Alyah, tidak semua orang akan menyukai apa yang dikongsikannya.
Saya tahu bila banyak sangat berkongsi tentang rumah dalam media sosial tidak semua orang akan suka, akan ada orang yang tidak berpuas hati. Keharmonian dalam rumah tangga itu lebih penting.
Tidak perlu beritahu semuanya pada orang, saya sendiri pernah buat kesilapan itu. Kesilapan itu yang buat saya belajar, tidak boleh buat sebegitu lagi apatah lagi umur semakin meningkat.
Untuk info, Alyah dan Ramli mendirikan rumah tangga pada Mac 2013 dalam satu majlis kecil yang diadakan di Indonesia. Hampir sedekad perkongsian hidup, pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata sehingga kini.
Sumber: TikTok