Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu dia sentiasa mendoakan Dr Mohanad iaitu individu yang menguruskan Sekolah Afwa Al Aafiyah miliknya di Gaza, Palestin sentiasa diberikan keselamatan di sana.
Artikel Berkaitan: ‘Harap-Harap, Jangkitan Kali Kedua Ini Tidak Mengganggu Peti Suara Saya’- Siti Nurhaliza
Setiap hari akan berhubung
Menerusi laporan Harian Metro, Siti berkata, Mohanad merupakan individu yang menjadi penghubung buat pasukannya di Malaysia dan Palestin. Tambah Siti atau lebih mesra disapa Tok Ti, dia juga akan mendapat maklumat mengenai murid-murid di sana menerusi info daripada Mohanad.
Kita selalu berhubung dengan dia. Setiap hari saya menantikan panggilannya. Suami dan pasukan kita pun ada satu ‘group’ dengan dia. Setiap hari, kami masing-masing akan tanya dia ada hubungi tak. Yang kita takut adalah adakah dia masih hidup atau tidak.
Alhamdulillah, setiap hari dia akan berhubung dan maklumkan berita terkini apabila dia ke hospital untuk mendapatkan kemudahan wifi. Selepas itu, dia akan maklumkan jika dia kena balik kerana isterinya baru melahirkan anak lelaki yang diberi nama Khalid.
Ujar Tok Ti, dia selalu berdoa agar Mohanad diberikan keselamatan dan dapat meneruskan inisiatifnya menerusi Yayasan Nurjiwa untuk menyumbang kepada mangsa perang di negara itu.
Keadaan dia pun kita risau. Selalu saya berdoa supaya dia tidak diapa-apakan dan dapat terus menyalurkan sumbangan setiap 10 hari.
Berbicara lebih lanjut, Tok Ti memberitahu murid-muridnya yang belajar di sekolah itu berada dalam keadaan baik.
Anak-anak di Gaza, saya rasa Allah memang lindungi mereka sebab Dr Mohanad membawa lebih 100 anak-anak dan dipindahkan ke selatan.
Ada yang ada ibu bapa dan ada yang tak ada. Sepanjang perjalanan itu, dia kongsikan nampak mangsa yang meninggal dunia di tepi jalan. Dr Mohanad bawa ibunya bersama dan tiga kali juga ibunya jatuh dan bangun. Ibu dia suruh tinggalkan dan minta dia teruskan perjalanan. Namun, dia enggan dan cakap, kalau mati, biarlah bersama-sama.
Ditambah pula, isterinya ketika itu sedang sarat mengandung. Saya harap, keadaan di selatan Gaza tidak parah seperti di utara. Kita hanya mampu berdoa.
Sumber: Harian Metro