Pelakon jelita, Datin Sofia Jane memaklumkan dirinya sangat mengutamakan soal penjagaan kesihatan bagi memastikan dirinya kekal cergas sebagai seorang pelakon.
Artikel Berkaitan: ‘Terima Kasih Untuk Segalanya, Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Ke-28’ – Datin Sofia Jane
Kepentingan menjaga kesihatan
Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Sofia Jane Hisham mengakui bahawa ramai individu kini obses tentang kecantikan dan awet muda tetapi perkara itu tidak akan mampu dicapai sekiranya tahap kesihatan merudum.
Ketika ini, seperti menjadi satu obsesi orang ramai bila kita bercakap soal pengekalan kecantikan.
Saya merasakan pada usia saya sekarang, apa yang membuatkan saya terus melangkah adalah tahap kesihatan saya sendiri.
Kalau saya ingin bekerja lebih lama lagi, saya mesti sihat secara mental dan fizikal. Pada ketika ini, itulah yang menjadi keutamaan saya.
Kalau anda cakap saya cantik, terima kasih.
Sofia berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di set penggambaran drama bersiri ‘One Cent Thief 2’ yang diadakan di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur.
Pemakanan aspek penting
Ketika ditanya mengenai rutin penjagaan kesihatan, pelakon berusia 52 tahun ini berkongsi bahawa pemakanan yang baik merupakan aspek yang penting untuk dijaga.
Setiap hari, bila saya bangun, saya akan pergi ke gimnasium untuk bersenam dan mengangkat beban.
Saya juga amalkan makanan yang sesihat mungkin. Sudah lama saya tidak ambil makanan berproses dan makanan segera.
Pada saya, untuk mencapai semua ini hanyalah asas dan sangat mudah tapi ramai yang tidak percaya.
Tambah Sofia, dia juga berharap agar rakan-rakan pelakon yang lain untuk bijak membahagikan masa supaya dapat memastikan badan memperoleh rehat yang cukup.
Buat wanita seusia saya terutamanya yang berkecimpung dalam dunia seni, tahap kesihatan kita kena sentiasa berada di tahap terbaik.
Waktu kerja kita bukan dari 9 pagi hingga 5 petang. Kita kerja siang dan malam serta waktu yang tidak menentu.
Malah, kesedaran terhadap kesihatan mental juga penting. Kerja kita memerlukan kita belajar, membaca dan memahami skrip. Ada banyak perkara yang kita perlu proses.