Apabila kes rompakan dilaporkan, sudah pastinya semua membayangkan kehilangan ratusan ribu hingga jutaan Ringgit not wang kertas dilarikan penjenayah. Siapa pernah menyangka, rompakan juga boleh berlaku dengan hanya duit syiling sekecil 1 sen sahaja, namun boleh membuat pelakunya jadi jutawan segera!
Miliki 6 kereta mewah di usia 24 tahun
Kes menggelapkan wang itu berlaku pada 1990 membabitkan eksekutif muda bank, Aman Shah Ahmad yang ketika itu berumur 24 tahun. Dengan gaji hanya RM1800 ketika itu, dia mampu memiliki 6 kereta mewah, tak ubah seperti jutawan.
Kereta mewah dimiliki Aman Shah adalah Lamborghini Countach bernilai RM1.3 juta, Mercedes Benz 300SL (RM502K), Mercedes Benz 300E (RM192K), Porsche 928 S4 (RM638K), Porsche Carerra (RM350K), BMW 3291 (RM68K).
Jenayah menyonglap duit pelanggan dilakukan Aman Shah ketika dia berkhidmat di Hock Hua Bank Kuala Lumpur sebelum minat pada kereta mewah tidak dapat dibendung lagi.
Beli kereta cash
Dia pernah dihantar menghadiri kursus komputer ketika bekerja di bank itu sebelum diberi mandat menjawat posisi penting dalam syarikat. Dia mengambil kesempatan memperguna pengetahuannya untuk melakukan jenayah.
Kesemua kereta dibelinya secara tunai dan tiga darinya tidak ada pendaftaran dan tidak dibayar cukai import. Dua buah kenderaan itu didaftarkan atas namanya manakala sebuah lagi meletakkan teman wanitanya ketika itu, Raha V V Aboo sebagai penama.
Licik jalankan operasi
Aman kemudian dinaikkan pangkat sebagai ketua di jabatan pemprosesan di Sistem Pemprosesan Elektronik untuk Dana dan Sekuriti atau SPEED. Dia menggunakan kepakaran dan pengetahuan untuk memindahkan 1 sen setiap hari dari akaun pelanggan bank Hock Hua ke akaun proksi bank lain.
Minat pada kereta sport mewah membuatkan Aman Shah dijemput sebagai tetamu ke rancangan bual bicara Sekapur Sireh di TV3 pada 3 Jun 1990. Ketika ditemubual, dia menceritakan koleksi kereta mewahnya selain keistimewaan masing-masing.
Akhirnya…
Ketika itu, dia sudah meletakkan jawatan di bank Hock Hua. Secara kebetulan, majikan lamanya telah menonton rancangan tersebut. Siapa menyangka, hari-hari mendatang bakal menjadi mimpi ngeri buat Aman Shah apabila majikannya itu telah mencurigai kemampuannya memiliki koleksi kereta berkenaan.
Bekas majikannya mengarahkan audit dalaman dijalankan membabitkan transaksi Aman Shah. Dengan segala bukti dikumpul, lelaki itu dicekup di kondo mewahnya di Bangsar, 3 hari kemudian. Jenayah melibatkan kehilangan RM4 juta dibuat hanya dalam 14 hari sahaja.
Taktik licik dilaksanakan lelaki itu dengan mengeluarkan arahan palsu menerusi SPEED sebelum pemindahan wang dilakukan ke akaun agensi pengiklanan Bistro. Dia kemudiannya dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara.
Sumber: The Reporter, Iluminasi