Penyanyi dan usahawan, Adira Suhaimi bersyukur apabila kes pengesahan lafaz rujuk membabitkannya dengan bekas suami, Datuk Red hampir menemui noktah biarpun masih perlu melalui satu lagi prosedur mahkamah.

Artikel Berkaitan: Kes Adira, Datuk Red Disambung 3 September Depan

Artikel Berkaitan: Soal Nikah Bukan Keutamaan, Adira Mahu Fokus Urusan Mahkamah – ‘Macam Mana Nak Kahwin? Kes Ini Belum Selesai’

Hampir selesai

Adira atau nama lengkapnya, Siti Adira Suhaimi, 35, berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan tempoh yang diambil untuk menyelesaikan kes berkenaan, sebaliknya menyerahkan segala urusan kepada prosedur mahkamah.

Saya okey sahaja, alhamdulillah. Tidak perlu tergesa-gesa. Kita ikut prosedur mahkamah dan insya-Allah, lambat laun perkara ini akan selesai juga.

Memang sudah agak lama dan berpanjangan, tetapi seperti saya cakap tadi, kita mahu ia selesai. Hari ini pun masih belum selesai sepenuhnya.

Bagaimanapun, sudah hampir 80 peratus selesai. Jadi, santai-santai sahaja. Apa sahaja keputusan nanti, saya sudah bersedia. Kehidupan ini akan berjalan seperti biasa dan tiada apa yang berubah.

Adira berkata demikian usai pihaknya memberi keterangan berhubung kes pengesahan lafaz rujuk di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, pada Khamis.

Ditanya sama ada kes berkenaan memberi sebarang gangguan terhadap kehidupan hariannya, ibu empat cahaya mata itu menafikannya.

Tidak sama sekali. Saya masih menjalani kehidupan seperti biasa. Tiada apa-apa pun yang terganggu. Alhamdulillah.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Adira, Roshdan Sujak Rafie berkata, proses perbicaraan kes berkenaan secara asasnya sudah selesai selepas anak guamnya dan seorang saksi selesai memberikan keterangan di mahkamah.

Bagi pihak Adira, semuanya sudah selesai. Cuma sekarang kita menunggu keputusan mahkamah. Prosiding hari ini adalah sambungan perbicaraan dan Adira sudah selesai memberikan keterangan.

Kita turut membawa seorang saksi, iaitu abang Adira, untuk memberikan keterangan dan semuanya sudah selesai. Jadi, proses perbicaraan sudah tamat.

Sekarang mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujah masing-masing. Tarikh akan datang ditetapkan untuk penghujahan dan selepas mahkamah menerima hujah, satu lagi tarikh akan diberikan bagi keputusan kes ini.

Mahkamah telah menetapkan 19 Oktober depan bagi kedua-dua pihak memfailkan hujah masing-masing sebelum keputusan kes berkenaan ditetapkan pada tarikh lain.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan penarikan balik kes yang difailkan Datuk Red terhadap Adira.

Menerusi permohonan yang difailkan pada 18 Disember lalu, Datuk Red mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 ketika Adira masih dalam tempoh idah selepas perceraian mereka.

Bagaimanapun, Adira sebelum ini meluahkan rasa terkejut dengan tindakan bekas suaminya itu dan mendakwa Datuk Red meminta bayaran RM100,000 sebagai antara syarat untuk menarik balik kes berkenaan.

Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015, ketika Adira menjadi isteri kedua sebelum mereka bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 8, Asan, 7, Anggun, 5, dan Ayob, 4.