berita

‘Suka Skrol TikTok, Main Telefon’ – Fadlan Hazim Kongsi Pengalaman Berlakon Dengan Pelakon Baharu

June 15th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Pelakon, Fadlan Hazim mendedahkan bahawa dia mempunyai pengalaman bersama pelakon yang lebih baharu daripadanya dan boleh dikatakan tidak berapa gemar dengan sikap ditunjukkan segelintir mereka.

Artikel Berkaitan: ‘Nak Kahwin Dengan Wanita Bukan Warganegara Banyak Proses’ – Fadlan Hazim Akui Rumit, Syukur Hampir Selesai

Tak bersedia lebih awal dan leka

Menurut Fadlan, terdapat segelintir pelakon baharu yang dilihat tidak peka dan tidak membuat persediaan lebih awal lebih-lebih lagi ketika waktu penggambaran.

Saya ada pengalaman berjumpa dengan pelakon baharu yang begitu, tetapi tak semualah ya. Macam dulu, kita tak ada telefon nak tengok Instagram ke, Youtube ke apa semua tetapi ada (segelintir) yang siap tengok Netlflix.

Mungkin disebabkan adanya telefon pintar menyebabkan masing-masing seperti buat hal masing-masing. Seorang duduk sana, seorang duduk situ, dan macam yang saya katakan tadi bukanlah semua (pelakon baharu) begitu.

Yang saya banyak jumpa pula sekarang ni sebelum penggambaran tu sibuk skrol TikTok dan sebagainya. Dan bila kita mula nak berlakon je dia macam ‘skrip belum hafal’, tambah pula kita tak berlatih lagi.

Bila kita tak berlatih sebelum penggambaran, kita sendiri jadi kekok tau depan kamera. Macam mana kan? Kita nak ‘break the ice’ lagi, dengan skrip baru nak hafal, tapi tak semualah begitu.

Tambah Fadlan lagi, dia sama sekali tidak menganggap dirinya sebagai seorang pelakon berpengalaman tetapi sangat terbuka untuk berkongsi dan menimba ilmu bersama dengan pelakon-pelakon baharu.

Pelakon yang lebih baharu dari saya sekarang ni, ada yang lebih bagus daripada saya.

Kalau mereka lebih ke hadapan daripada saya dan terbuka untuk berkongsi, kongsi sahaja pada saya. Saya sangat terbuka.

Macam Datuk Rosyam Nor dan orang-orang lama dalam industri ni mereka suka berkongsi tenaga, ilmu dan sebagainya.

Fadlan mendedahkan perkara itu ketika ditemui OhBulan! pada malam tayangan perdana drama bersiri terbitan Astro, Jack Yusof di Dadi Cinema, Pavillion Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Kongsi pengalaman sewaktu mula berlakon

Dalam pada itu, Fadlan mengakui apa yang dilihatnya itu ternyata berbeza dengan pengalaman yang dilaluinya sewaktu mula-mula menapak dalam industri hiburan sebagai seorang pelakon.

Dulu tak (ada telefon) dan zaman saya adalah zaman terakhir di mana tiadanya penggunaan telefon pintar.

Waktu itu pula, otai-otai dahulu akan ajak kitaorang (pelakon-pelakon baharu), duduk satu meja menghadap sahaja skrip.

Zaman dulu punya cara ialah letak skrip di tengah-tengah dan kami akan duduk seperti di dalam bulatan tau untuk berbincang tapi zaman sekarang boleh saya katakan sudah berkurang.

Jack Yusof

Jack Yusof merupakan sebuah drama terbitan Astro diarahkan oleh pengarah hebat, Wan Hasliza Wan Zainuddin.

Jack Yusof menyaksikan kemunculan semula Datuk Rosyam Nor sebagai watak utama menerusi drama bersiri selepas lebih 10 tahun yang memegang watak sebagai Jack Yusof iaitu seorang aktor senior yang popular, namun masih kelihatan muda kerana kerap menggunakan suntikan botox. Walaupun hidup dalam kemewahan dan digilai ramai, tetapi Jack banyak melakukan kesilapan dalam kehidupan peribadinya, termasuklah meninggalkan anak perempuannya, Aida ketika masih bayi. Selepas beberapa tahun, Aida tiba-tiba muncul menghubungi Jack dengan satu tujuan.

Selain Rosyam, siri ini dibintangi Sharifah Husna, Raja Ema, Rashidi Ishak, Hafiz Halim, Fadlan Hazim, Adriana Adnan dan Loganathan Kanabathy.

 

SKIP THIS AD ×