berita

Sultan Johor Benarkan Solat Jumaat, Solat Fardhu Di Masjid Terhad 12 Orang Jemaah Sahaja

January 13th, 2021 | by AnisAffandi
Kini Trending

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuatkuasa hari ini, prosedur operasi standard (SOP) di masjid atau surau membenarkan hanya seramai 5 orang ahli jawatankuasa bagi tujuan pengurusan masjid atau surau.

Artikel berkaitan:

Namun, selepas menimbang dengan penuh teliti berdasarkan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardhu berjemaah di semua masjid dan surau di negeri Johor sepanjang tempoh PKP.

Hanya seramai 12 jemaah

Foto: Borneo Today

Menurut kenyataan yang dimuatnaik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Iskandar, baginda bertitah pelaksanaan itu bermula dari 13 hingga 26 Januari dan hanya membenarkan seramai 12 jemaah. Sehubungan dengan itu, jemaah haruslah terdiri daripada pegawai masjid serta ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.

Titah baginda, pelaksanaan ini termasuk dengan aktiviti pengimarahan masjid dan surau, aktiviti tanah perkuburan Islam dan majlis akad nikah. Namun, bagi bacaan Surah Al-Mulk selepas solat fardhu Isyak, bacaan surah Al-Kahfi selepas solat fardu subuh pada jumaat serta bacaan surah Yasin dan tahlil perlu dilaksanakan di rumah masing-masing.

Manakala, bagi aktiviti di tanah perkuburan, urusan pengebumian jenazah dihadkan seramai 20 orang sahaja termasuk petugas dan waris. Tetapi, aktiviti ziarah tanah perkuburan tidak dibenarkan.

Akad nikah juga dibenarkan

Foto: Free Malaysia Today

Menurut Sultan Ibrahim, majlis akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Kadi Daerah dan terhad kepada pasangan pengantin dan wali, tanpa merentasi daerah dan mempunyai kebenaran berkahwin sebelum tarikh kuatkuasa PKP.

Bagi pasangan pengantin yang memperoleh kebenaran berkahwin sebelum PKP tetapi berada di luar daerah atau negeri dari tempat majlis akad nikah iaitu Pejabat Kadi Daerah, majlis akad nikah pasangan tersebut hendaklah ditangguhkan dan akan dijadualkan semula tarikh pernikahan oleh Pejabat Kadi Daerah.

Baginda turut menyeru kepada semua rakyat negeri Johor agar bersatu hati dan berdoa agar sentiasa dalam perlindunganNya dan dipelihara daripada apa jua bencana, khususnya pandemik Covid-19 ini.

Sumber: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

SKIP THIS AD ×