Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa bimbang dan risau dengan keadaan semasa negara disebabkan ramai dalam kalangan rakyat Selangor mula mengabaikan amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan virus pandemik.
Gelombang kedua akan muncul
8 Julai 2020 ~
KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini menzahirkan rasa bimbang dan risau dengan keadaan semasa.
Baginda mendapati ramai di kalangan rakyat di Negeri Selangor khususnya, yang semakin mengabaikan amalan-amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mencegah penularan wabak berbahaya Covid-19.
Menerusi pemerhatian Baginda sendiri, ramai rakyat yang tidak lagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan, seperti berada di tempat-tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak sosial.
Menurut Baginda, kebanyakan rakyat masih tidak mematuhi garis panduan seperti tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak sosial.
Baginda juga menzahirkan rasa bimbang dengan penularan gelombang kedua wabak yang menjejaskan ekonomi dan kehidupan seharian jika rakyat masih degil.
Terus patuh SOP
Baginda sangat bimbang sekiranya masih ramai yang berdegil dan tidak mengamalkan norma-norma baharu ini, gelombang kedua penularan akan muncul dan menjejaskan ekonomi dan kehidupan seharian rakyat.Justeru, Baginda menyeru agar semua rakyat terus mengamalkan disiplin yang tinggi dengan sentiasa memakai pelitup muka, membersihkan tangan menggunakan sanitizer atau sabun dan mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter. Jika tidak sihat atau sakit, jangan keluar ke tempat awam.
Baginda tidak mahu rakyat terus hidup dalam suasana yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.
Justeru, bagi mengelakkan rakyat hidup dengan berisiko tinggi berdepan dengan kematian, Baginda menyeru agar rakyat menerapkan disiplin tinggi dalam diri.
Hargai frontliners negara
Baginda turut menyeru rakyat agar menghargai jasa dan pengorbanan petugas-petugas di barisan hadapan khususnya di hospital-hospital serta tidak menambah bebanan tugas mereka.
Titah Baginda lagi, selagi vaksin untuk wabak Covid-19 belum ditemui, Baginda berharap setiap rakyat berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi SOP yang disebutkan tadi kerana ini sahaja cara yang terbukti berkesan bagi menghapuskan wabak berbahaya ini.
Istana Alam Shah
8 Julai 2020
Baginda juga berharap agar semua berusaha tinggi bagi mencegah wabak ini dan terus menghargai ‘frontliners’ negara.
Sumber : Selangor Royal Office