Peniaga nasi ayam claypot tular, Ahmad Muzakin Mohd Amir tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan mengenai premisnya di Sri Petaling yang dikatakan menggunakan wain beras dalam masakan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Kecam ‘Influencer’ Selamba Makan Keropok Bab* Di Restoran Halal – ‘Saya Tak Fikir Panjang’
Sumpah demi Allah
Memetik Harian Metro, Ahmad Muzakin, 48, mendakwa kedua-dua botol digunakannya itu adalah minyak bijan yang biasa digunakan dalam masakan Cina.
Namun, Ahmad Muzakin mengakui kilang yang memproses bahan itu tidak mempunyai sijil halal daripada pihak berkuasa agama tetapi diyakini halal.
Saya mengaku premis saya memang tiada sijil halal daripada Jakim tetapi banyak kedai Muslim lain juga tiada sijil sama. Saya anggap ia bukan satu masalah besar kerana saya adalah Muslim dan saya tahu tanggungjawab, malah tidak akan menyorokkan bahan digunakan.
Dua botol itu adalah minyak bijan dan apabila guna dua botol secara terus, saya akan dapat titisan minyak berganda tanpa banyak kali menuangnya cuma saya akui kilang (pengeluar minyak bijan) itu tiada sijil halal tetapi bahannya diyakini tiada yang terlarang.
Kalau kata saya memasukkan bahan terlarang dalam botol minyak bijan itu tidak masuk akal kerana kami tidak pernah membuka penutup itu hanya tebuk lubang dan plastik penutup juga masih rapi, jadi macam mana saya masukkan bahan itu. Bekalan ayam yang kami gunakan juga daripada sumber yang halal.
Sumpah demi Allah SWT saya tidak menggunakan bahan terlarang seperti ditularkan netizen. Ini maruah saya dan sebagai umat Islam saya bertanggungjawab serta ikhlas berniaga untuk rezeki halal keluarga.
Selain itu, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini berkata dia akan mengikuti kursus membuat permohonan sijil halal kepada Jakim pada Khamis ini.
Apabila sudah tular dan terkenal seperti ini saya sudah cakap dengan isteri (Rotiya Ropai, 49) nanti mesti akan ada fitnah dan ia memang betul berlaku tetapi saya tidak sedih atau takut hilang pelanggan kerana rezeki Allah yang bagi.
Macam-macam orang cakap tentang kami hingga mengaitkan asal usul kami. Saya orang Malaysia dan pemegang kad pengenalan biru tetapi saya tidak malu mengaku keturunan saya dari Indonesia dan isteri pula memang asal Surabaya.
Saya tidak marah dan bersedia menjawab semua soalan pelanggan kerana saya ikhlas berniaga dan bertanggungjawab dengan perniagaan saya. Apa saja pelanggan mahu kepastian boleh tanya saya terus dan saya akan jawab jujur.
Dalam pada itu, Ahmad Muzakin menyatakan dia tetap memaafkan individu yang menjadi punca dirinya dikecam kerana setiap manusia mempunyai khilaf dan menganggap ia adalah ujian mereka dalam mencari rezeki.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah premis diusahakan suami isteri Muslim yang tular di media sosial di Sri Petaling didakwa menggunakan bahan masakan tidak halal dan meragukan masyarakat sebelum Jakim mengesahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis itu.
Sumber: Harian Metro