Dua suspek yang disyaki membunuh Sabari Baharom mendedahkan mereka bertindak menghumban mangsa ke dalam sungai kerana mahu menghapuskan bukti selepas menyamun pesara pegawai kewangan Felcra itu.
Artikel Berkaitan: Suspek Kes B*nuh Sabari Ketagih Main Judi, RM16,000 Habis Di Kasino Batam
Samun lebih RM10,000
Foto: Harian Metro
Memetik laporan Harian Metro, kedua-dua suspek yang berusia 26 dan 38 tahun memaklumkan bahawa pada awalnya mereka hanya mahu menyamun Sabari namun bertindak sedemikian selepas mangsa mengecam wajah mereka.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, hasil siasatan awal yang dilakukan ke atas dua suspek mendapati motif pembunuhan dilakukan kerana mereka telah menyamun mangsa sebanyak RM11,000.
Kedua-dua suspek kemudiannya bertindak mengikat tangan dan menutup mulut mangsa dengan pita pelekat sebelum mencampakkannya ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa.
Perbuatan itu dilakukan selepas mangsa mengecam wajah suspek menyebabkan mereka mengambil tindakan itu (membunuh).
Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai.
Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.
Walau bagaimanapun, kehilangan Sabari kemudiannya terjawab apabila pihak polis mengesahkan mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.
Persoalan itu mula terjawab selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit melakukan perbuatan itu.
Kini, siasatan yang sebelum ini dilakukan berkaitan kes orang hilang akan dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh.
Sumber: Harian Metro