berita

Syafiq Kyle Cabar Diri Jadi Peninju Dalam Siku 12: Langkah Derhaka

October 27th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Bukan menjadi lelaki maskulin yang tampan, kali ini pelakon Syafiq Kyle tampil dengan sisi berbeza dalam filem terbarunya, Siku 12: Langkah Derhaka.

Artikel Berkaitan: ‘Kalau Memang Kehendak Sendiri, Kita Tak Boleh Salahkan Orang Lain’ – Zahiril Adzim Respon Isu Pengarah Lepas Tangan

Tajuk menarik

Syafiq menjadi teraju utama dan bergandingan dengan aktor terkenal, Zahiril Adzim dalam filem ini. Ditanya sebab utama dia menerima tawaran berlakon, katanya, dia mahu mencabar diri berlakon dalam filem bergenre aksi.

Saya gembira dapat berlakon dengan Zahiril. Zahiril ada asas dalam seni silat dan saya juga tiada masalah mendapatkan keserasian dengannya.

Saya yakin filem ini ada kelainan. Tajuk filem ini sendiri sangat menarik. Saya tak tahu tentang kewujudan langkah 12 sebelum ini, selalu dengar pasal silat cekak dan gayong sahaja.

Bercerita mengenai persiapan diri, aktor berumur 30 tahun ini sudah membuat persiapan awal sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sepanjang PKP, saya menghabiskan masa bersenam dan berlatih di gimnasium.

Justeru, saya tiada masalah dari aspek stamina dan kecergasan untuk melakonkan babak pertarungan sebagai peninju dalam filem ini.

Pemilik nama Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak juga bersyukur kerana sudah mempunyai asas dalam seni Muay Thai. Katanya, dia hanya mengalami kecederaan ringan sepanjang 15 hari penggambaran.

Selain ada asas dalam seni Muay Thai, saya berlatih dengan guru seni silat dari Pulau Pinang sebelum memulakan penggambaran.

Sudah namanya filem aksi, saya mengalami lebam di kaki dan tangan serta benjol di kepala kerana terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan.

Kos keseluruhan 1.2 juta

Sementara itu, Penerbit Eksekutif, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, perancangan untuk menerbitkan filem yang membabitkan kos sebanyak RM1.2 juta itu bermula pada penghujung 2019.

Bagaimanapun, katanya, penggambaran filem itu pula hanya dapat dimulakan pada 2021.

Kami juga mengambil sedikit masa sebelum memulakan penggambaran kerana perlu melakukan kajian mendalam mengenai seni silat siku 12 dan mencari barisan pelakon yang benar-benar sesuai dan boleh bersilat untuk beraksi dalam filem itu.

Penggambaran filem Siku 12: Langkah Derhaka membabitkan tempoh selama 15 hari seperti dijadualkan. Ia membabitkan lokasi penggambaran sepenuhnya di Pendang dan Alor Star, Kedah.

Bagi menampakkan suasana sebenar pertarungan ratusan pelakon tambahan digunakan dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka. Selain penampilan istimewa seramai 20 penari menora dari Persatuan Manora Kedah dan Manora Kham Kampung Kalai.

Mengenai cabaran menghasilkan filem berkenaan pula, kata Mohd Hafiz, dia hanya mengambil alih projek filem itu pada saat akhir.

Saya bersetuju mengambil alih projek dari produser, Mohamad Pozi Mansor bukan atas dasar persahabatan semata-mata tetapi saya percaya filem ini mempunyai potensi besar dan berpeluang untuk diangkat ke peringkat antarabangsa.

Siku 12 ini adalah ilmu persilatan seni silat tua Melayu permainan 12 yang jarang diketengahkan dalam filem sebelum ini.

Filem arahan Azhari Zain turut dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Filem Siku 12: Langkah Derhaka sudah mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini selain turut ditayangkan serentak di tujuh pawagam di Singapura dan satu pawagam di Brunei Darussalam.

SKIP THIS AD ×