Foto: Harian Metro
Gara-gara mengesyaki isteri curang, seorang pekerja pengemas penginapan bertindak ganas dengan mencederakan isterinya menggunakan kayu golf dan baton besi. Dia kemudian didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh semalam.
Artikel Berkaitan: Pelajar Beri Alasan Buang Ulat Di Tudung Rakan, Rupa-Rupanya Kelar Leher
Artikel Berkaitan: Tak Tahan Layan Ibu Sakit Strok, Anak & Menantu Dipercayai Pukul Warga Emas Sampai Mati
Mengaku tidak bersalah
Gambar sekadar hiasan
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh Azwan Azman didakwa menggunakan kayu golf, baton besi dan buluh dengan sengaja mencederakan isterinya Noraishah Ya’acob, 28, sehingga parah.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 19 Jun lalu jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 3, Taman Seri Telok Mas.
Susulan itu, dihadapan Hakim Darmafikri Abu Adam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama 326A kanun sama, namun tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari yang membantah jaminan diberikan kepada tertuduh selepas mengambil kira kecederaan parah yang dialami mangsa.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Syah Azlan Abdullah memohon budi bicara mahkamah untuk memberikan jaminan rendah atas alasan ibu tertuduh mempunyai hanya RM4,000 untuk jaminan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang berusia 32 tahun itu dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, mahkamah juga meletakkan syarat iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Ogos depan bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.
Jika disabitkan kesalahan bapa kepada dua orang anak itu boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 dan 326A KK.
Sumber: Harian Metro