Berikutan tersebarnya 3 keping gambar yang dipercayai foto ketika Puteri Liyana Sarah dirisik oleh keluarga Syamsul Yusof , ibu kepada pengarah muda itu, Datin Patimah Ismail telah mengesahkan bahawa dua merpati sejoli itu akan dinikahkan pada bulan Februari ini.
Artikel Berkaitan: Keluarga Syamsul Yusof Risik Puteri Sarah Liyana
Menurut laporan mStar Online, majlis merisik itu diadakan semalam (Ahad) secara sederhana di kediaman keluarga wanita pilihannya itu yang terletak di Sri Damansara.
“Majlis merisik itu diadakan secara ringkas dan saya telah menyarungkan sebentuk cincin di jari Sarah namun tiada sebarang majlis pertunangan diadakan kerana Syamsul mahu bernikah terus dengan Sarah”
Akhirnya, Syamsul Yusof memilih Puteri Sarah Liyana sebagai suri hidupnya
Melalui perbincangan yang dilakukan, kedua belah pihak bersetuju supaya majlis pernikahan dilangsungkan pada bulan hadapan. Walaubagaimanapun, tarikh yang tepat bagi majlis pernikahan tersebut masih belum diputuskan lagi.
Datin Patimah turut memberitahu bahawa Syamsul menyatakan hasrat untuk memperisterikan Puteri Liyana Sarah selepas pulang daripada menunaikan ibadah Umrah pada 28 Disember yang lalu.
“Kata Syamsul sepanjang berdoa di Mekah dia hanya nampak Sarah sebagai calon isterinya dan membuatkan dia lebih yakin untuk memperisterikan wanita itu.”
Pengarah muda ini dirancang akan bernikah dengan pilihan hatinya pada Februari ini
Merestui pilihan anaknya itu, Datin Patimah menyifatkan bahawa Puteri Liyana Sarah adalah seorang gadis yang bersikap lemah lembut dan terbuka.
Datin Patimah merancang untuk mengadakan majlis sambut menantu secara serentak memandangkan anak bongsunya, Syafiq Yusof juga akan melangsungkan perkahwinan pada bulan Jun depan.