Syasya, atau nama sebenar Noor Syasya Afiqah Shahrizal yang merupakan ahli kumpulan M-pop DOLLA, telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut atas sebab peribadi.
Syasya tarik diri atas sebab peribadi
Menurut Kim Lim iaitu Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, tiga lagi ahli kumpulan DOLLA iaitu Angel, Sabronzo dan Tabby, akan meneruskan perjuangan seni buat peminat di dalam dan luar negara.
Malah, tahun ini pihak Universal Music Malaysia telah membuat pelbagai perancangan untuk memastikan kumpulan ini menempah nama di persada muzik Asia Tenggara, dan kami tetap akan meneruskan perancangan tersebut.
Sementara itu, Tabby akui meskipun sedih dengan keputusan tersebut namun mereka semua bersepakat untuk memberi sepenuhnya sokongan kepada Sasya selain mengharapkan yang terbaik buat penyanyi berusia 23 tahun itu.
Selain itu, Sabronzo pula berkata mereka tetap akan memberikan komitmen penuh untuk menjayakan segala perancangan DOLLA sebagai kumpulan. Dalam pada itu, Angel berkata hubungan mereka berempat sangat akrab seperti sebuah keluarga.
Hubungan kami sangat erat dan kami tetap anggap Syasya sebagai keluarga DOLLA. Persahabatan yang dibina selama ini tidak akan terputus begitu saja.
Sekadar info, DOLLA yang ditubuhkan pada tahun 2019 di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia, mula mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan single pertama mereka ‘DOLLA Make You Wanna’ yang dilancarkan pada 20 March 2020.
Sehingga kini, DOLLA telah mengeluarkan enam single solo, termasuk hits seperti Impikan, BAD, dan satu album penuh berjudul New Classic pada November 2023.
Kumpulan yang turut dianggotai oleh Angel, Sabronzo dan Tabby ini pernah merangkul anugerah Top Meletop Kumpulan/Duo di Anugerah Meletop Era 2021, selain dinobatkan sebagai Kolaborasi/Artis Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) tahun 2022 serta Lagu Trending Tergempak dan Video Muzik Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2023.