berita

Syazwan Zulkifly Nafikan Diri Panas Baran

November 30th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Syazwan Zulkifly mula meningkat popularitinya apabila memegang watak sebagai Apek dalam drama terbitan Filmscape iaitu Juvana yang pernah menjadi fenomena di TV3 dahulu. Dia kini sama sekali tidak menyangka bahawa bakat lakonannya terus di tagih dalam dunia lakonan yang penuh dengan cabaran ini.

Namun begitu, pelakon ini terkejut kerana baru setahun jagung dia di dalam dunia lakonan seiring dengan populariti, Syazwan mula dihinggapi dengan desas-desus dan khabar angin yang kurang enak.

Syazwan khabarnya dikecam kerana dikatakan seorang yang bersifat panas baran. Ketika ditemui di lokasi penggambaran filem “LAGA”, Syazwan sempat memberi komen tentang isu ini.

“Saya tak tahu dari mana datangnya cerita ini, tapi ingin saya tegaskan di sini bahawa saya bukan seorang yang panas baran, mungkin cara saya yang sebegini membuatkan orang berfikiran lain,” ujar Syazwan dengan nada yang agak tegas.

Tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, Syazwan mengambil teguran ini sebagai panduan untuk dia terus mencari rezeki di dalam bidang yang diminatinya sejak dulu lagi.

“Saya ambil perkara ini positif, apa yang berlaku saya mohon maaf jika ada terbuat ataupun termarah sesiapa. Mungkin cara saya menjawab pertanyaan media kurang mesra dan disebabkan itu ada pihak media yang anggap saya ni jenis yang suka marah,” ujar Syazwan lagi.

Dalam pada itu, Syazwan baru sahaja tamat menjalani penggambaran untuk filem Laga yang bakal di tayangkan tahun depan. Pelakon ini akan turut digandingkan bersama pelakon dan model seksi Indonesia, Tyas Mirasih.

SKIP THIS AD ×