Baru-baru ini tular sepotong video di laman TikTok menyaksikan seorang lelaki yang dikenali sebagai Zaki Jinggo berasal dari Kuantan mengaku kononnya pernah menjalin hubungan cinta dengan penyanyi, Syura Badron.
Artikel Berkaitan: Syura Badron Sah Hamil, Bakal Bersalin Bulan Mac Depan
Artikel Berkaitan: Bernikah Dengan Lelaki Bujang & Orang Kebanyakan, Syura Kenal Suami Sejak 5 Tahun Lalu
Peminat lama
Susulan itu, Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 36, mengakui ada menerima kiriman video yang tular itu daripada beberapa kenalan dan sudah pun menontonnya.
Jelasnya, berkemungkinan lelaki tersebut merupakan peminat yang pernah ditemui sewaktu membuat persembahan di Kuatan sekitar tahun 2001 yang lalu.
Mula-mula tu memang saya terkejut apabila mendengar cerita yang disampaikan lelaki itu. Saya siap cakap dalam hati, siapa mamat ni tiba-tiba mengaku pernah bercinta dengan aku? Kenal pun tak.
Tetapi selepas habis mendengar perbualannya, teringat suatu masa dahulu pada 2001 ketika lagu Kasih Tidak Terjamah menjadi siulan, saya pernah mengadakan persembahan di Kuantan.
Pada masa itu, saya ada mengajak seorang peminat naik ke pentas untuk menyanyi bersama saya. Mungkin Abang Zaki ini adalah peminat itu berdasarkan cerita yang didedahkan dalam video tersebut.
Tambah pelantun lagu Candak itu lagi, lelaki berkenaan agak dikenali di Kuantan memandangkan personalitinya yang ramah dan sering hadir ke acara-acara hiburan terutamanya melibatkan persembahan nyanyian.
Saya ada terbaca beberapa komen di entri video itu dan ramai cakap, Abang Zaki ini memang selalu kelihatan di sana.
Ada yang kata dia suka menyanyi dan mengikut komen individu lain, mereka mendakwa Abang Zaki ini ‘tak sihat’.
Jadi saya fahamlah apa yang warganet maksudkan dan anggap pendedahan Abang Zaki sebagai hiburan kerana ia melucukan. Saya pun ada tunjuk video ini kepada suami, dia pun ketawa mendengar ceritanya.
Apapun, saya minta maaf kepada Abang Zaki kerana ‘kenakalan’ saya semasa berumur 15 tahun ketika itu membuatkannya teringat-ingat hingga sekarang.