Kisah mayat bayi didakwa telah dibekukan dan ditahan selama 16 hari di sebuah hospital swasta kerana bapanya tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk menguruskan jenazah tersebut mencuri perhatian ramai di media sosial.
Artikel Berkaitan: Jenazah Bayi Dibeku Selama Dua Minggu, Doktor Didakwa Hina Bapa Kerana Tak Mampu Lunas Bil RM3,600
Terbaru, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin memberi pandangannya berhubung isu tersebut.
Satu penganiayaan fizikal
Menurut Dr Mohd Hapiz, menyimpan jenazah di dalam peti sejuk mayat selama dua minggu adalah tidak wajar kerana ia menyebabkan kelewatan pengebumian jenazah yang sepatutnya disegerakan jika tiada sebarang keuzuran.
Tindakan penahanan disebabkan menunggu si bapa untuk menyelesaikan kos bersalin ibunya bukanlah suatu keuzuran syarie (seperti kes pembunuhan, kemalangan dan sebagainya yang perlu dibedah siasat) kerana tuntutan kos itu boleh diselesaikan dengan cara lain.
Dalam hal ini, ia menjadi satu penganiayaan fizikal yang menyalahi syarak yang tidak wajar dibiarkan berulang sekali lagi.
Tambah Hapiz, terdapat beberapa perkara berkaitan hukum syarak yang perlu dipertegaskan berhubung perbuatan menahan jenazah bayi berkenaan.
Jika bayi yang dilahirkan sudah berusia enam bulan dan ke atas, maka jenazahnya wajib dilakukan seperti jenazah orang dewasa iaitu dimandikan dan dikafankan, solat jenazah dan dikebumikan. Jenazah bayi berkenaan sudah melebihi usia enam bulan, jadi wajib disegerakan melainkan terdapat keuzuran seperti menunggu kedatangan wali (bapa, ibu atau penjaga yang sah) dalam jarak masa singkat yang mana dipercayai badan jenayah masih elok dan tidak berlaku perubahan (membusuk dan seumpamanya).
Ujar Hapiz, ia boleh ditangguhkan jika terdapat keperluan (maslahah) yang kritikal seperti wujudnya keraguan tentang punca kematian atau tujuan bedah siasat dalam kes tertentu seperti pembunuhan, kemalangan dan sebagainya.
Sementara itu, berhubung dakwaan menghina fizikal bayi, Hapiz berkata, seorang Muslim perlu berakhlak Islam dengan menjaga lidah dan tangan daripada menyakiti orang lain.
Tindakan menghina seseorang dalam semua keadaan adalah suatu yang menyalahi akhlak Islam. Kita seharusnya menjauhi daripada memaki, mencela, dan berkata tidak elok pada orang lain atau mengenai diri mereka.
Sumber: Harian Metro