Menurut suami Irma Hasmie, Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan, isterinya kini telah hamil lima minggu. Perkara ini telah membuatkan selera makannya semakin bertambah dan dia pula yang banyak mengidam, berbanding Irma. Irma dikatakan hanya mengalami alahan biasa sahaja seperti wanita hamil yang lain. Berita gembira ini telah dikongsikan menerusi pihak media mStar Online.
“Isteri tidak mengidam apa-apa lagi setakat ini tetapi sebaliknya saya pula yang mengidam nak makan macam-macam sehingga menjadikan saya seorang yang kuat makan,” ujarnya kepada mStar Online.
Redza memaklumkan bahawa, buat sementara waktu ini dia akan menemani isterinya untuk menghadiri majlis-majlis tertentu kerana bimbang alahan yang dialami oleh isterinya. Menurut Redza, dengan menemani isterinya, dia bukan sahaja dapat menjaga Irma, malah dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri antara mereka.
Selain itu, Redza turut melahirkan rasa bersyukur dan terujanya untuk bergelar seorang bapa. Kini kandungan Irma berada dalam keadaan baik, cuma Irma tidak boleh menikmati makanan dan selalu mengalami muntah-muntah.
Untuk pengetahuan, Redza dan Irma Hasmie telah bernikah pada 29 Jun 2012 yang lalu.