Anak merupakan anugerah Illahi dan tanda kebesaran serta kekuasaan-Nya. Setiap pasangan yang sudah berumahtangga pasti mengimpikan anak sebagai penyeri.
Lain cerita dengan perkongsian oleh salah seorang pengguna Facebook ini apabila kegembiraan dikurniakan anak bertukar hiba apabila dikejutkan dengan berita kematian. Hanya dikenali sebagai Eija Shaiza, dia berkongsi kisah anak syurganya ini.
Lahir mati
Gambar sekadar hiasan
Eija pula diuji dengan lahir mati. Lahir mati atau kematian janin dalam kandungan adalah mimpi ngeri yang sukar sangat untuk dihadapi. Bayangkan segala impian dan kegembiraan untuk menimang cahaya mata serta mendengar tawa tangis si manja hilang dalam sekelip mata.
Dik bangun dik, kak nak periksa jantung bayi sekejap. Kata seorang jururawat mengejutkan Eija pada pukul 5.00 pagi. Eija dalam keadaan mamai bangun melonggarkan sedikit kain untuk membolehkan jururawat meletakkan gel untuk periksa jantung bayi. Kelihatan dahinya berkerut-kerut sambil memusing tangan ke kiri dan ke kanan mencari sesuatu yang tidak diketemuinya.
Sekejap ya dik, akak panggil jururawat lain sekejap, katanya. Lalu datang lagi seorang Jururawat lain. Beliau datang memeriksa sama seperti Jururawat tadi. Mencari sesuatu yang sudah tiada. Eija dah mula rasa tak sedap hati. Jantung mula berdegup kencang. ‘Fetal doppler’ tu habis bateri kot kak, kata Eija dekat mereka.
Mereka saling berpandangan kemudian bergegas mencari ‘fetal doppler’ yang lain, kemudian mereka periksa lagi menggunakan ‘fetal doppler’ yang diambil di kaunter dan berlalu pergi membuat panggilan. Mata masih mengantuk tapi melihatkan kelakuan aneh jururawat tadi, mata terus membulat. Mulut terus terkumat-kamit membaca doa tidak henti-henti. Rasa tidak sanggup nak menghadapi seribu satu kemungkinan.
Doktor main teka-teki
Gambar sekadar hiasan
Jururawat tadi datang semula, dik, jom! doktor nak jumpa, panggilnya lembut. Jururawat menyuruh masuk dalam sebuah bilik di dalam wad yang dilengkapi dengan alat ‘Cardiotocography’ dan Ultrasound. Cardiotocography atau CTG adalah sebuah alat yang digunakan untuk memantau denyut jantung janin dan kontraksi rahim. Tapi doktor tak nak guna CTG kerana Doktor cakap kandungan baru 28 minggu susah nak detect pergerakan katanya. Doktor hanya guna Ultrasound Scan.
Sekejap ya dik, saya panggil doktor lain untuk periksa sekali lagi, lalu doktor tersebut beredar. Beliau masuk dan membawa rakannya. Giliran rakan doktor tadi pula memeriksa Eija. Sambil periksa, mereka bercakap terma-terma dalam perubatan. Tidak faham apa yang dibualkan. Dik, tunggu sekejap ya, saya dah telefon doktor pakar, sekejap lagi dia datang untuk membuat pengesahan.
Pengesahan apa ya doktor, tanya Eija dengan perasaan yang bercampur-baur. Mereka masih tidak menjawab soalan yang bersarang di kepala ni. Hampir 30 minit jururawat dan doktor bermain teka-teki, bila ditanya mereka hanya menggosok-gosok bahu Eija. Tak sampai lima minit, doktor pakar sampai.
Sebelum memulakan pemeriksaan, semalam puan tidur pukul berapa ya, tanya doktor. Saya tidur lebih kurang pukul 11.00 malam, kata Eija. Puan ada kira dan tanda gerakan bayi, tanya doktor lagi sambil mencatat sesuatu. Ya, saya tanda sebelum tidur saya ada rasa gerakan, kata Eija mula tak puas hati sebab dah dekat 40 minit duduk main teka-teki.
Doktor pakar tersebut mula menggunakan scan ultrasound semula. Empat kali dah mereka imbas guna scan ultrasound tersebut.
Induce 22 kali
Gambar sekadar hiasan
Maafkan saya ya puan, saya dan doktor-doktor lain tidak mendengar bunyi jantung anak puan. Apa maksud doktor ni? Saya tak faham!
Maaf ya puan, sebenarnya anak puan dah meninggal, mungkin meninggal dalam dua hingga tiga jam yang lalu.
Eija kaku, bisu. Hanya air mata mengalir laju seperti empangan yang pecah. Tiba-tiba terasa bahu diusap-usap dan dipeluk erat oleh jururawat. Jam menunjukkan pukul 5.45 pagi. Gagahkan diri menuju bilik air ambil air sembahyang untuk solat subuh. Bila angkat takbir, air mata turun menderu. Subuh yang dua rakaat terasa bagai sembahyang 20 rakaat. Bacaannya panjang, sujudnya panjang sambil air mata mengalir laju di pipi. Hampir sejam bertafakur, berdoa dan menangis di surau untuk mengumpul kekuatan nak beritahu suami.
Suami datang. Doktor mengambil keputusan untuk induce pada keesokan harinya. Induce bukan sekali, bukan dua kali, tapi dua puluh dua kali baru bayi keluar. Dua puluh dua kali ya. Sangat mengerikan!
Bulan september tahun ni dah genap setahun pemergian Muhammad. Kalaulah masih ada, Muhammad dah boleh berjalan, dah boleh berlari. Kalaulah masih ada, Kakak Zara dah ada peneman bermain. Tunggu ibu di syurga sayang. Maafkan ibu, hingga saat ini, ibu tak pernah melawat pusara Muhammad. Ibu tak kuat. Muhammad sentiasa ada dalam doa ibu. Selamat ulang tahun kelahiran yang pertama sayang. Semoga kita bertemu di syurga. Doakan ibu, abah dan kakak Zara ya Muhammad.
Sumber : Eija Shaiza