berita

Tak Mahu Anak Dikuarantin, Bapa Larikan Anak Suspek Koronavirus Dari Hospital

January 26th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Koronavirus mula merebak ke negara kita disebabkan faktor kedatangan pelancong dari negara China dan perkara ini membimbangkan semua pihak. Lebih merisaukan kita lagi apabila kanak-kanak lelaki warga China berusia dua tahun yang mempunyai simptom koronavirus dipercayai dibawa keluar dari sebuah hospital di Johor Bahru oleh ibu bapanya.

Walaupun telah dilarang oleh pihak hospital, namun, ibu bapa kepada kanak-kanak itu memberontak dan berdegil sehinggakan pihak hospital terpaksa membuat laporan polis.

Pesakit mempunyai demam virus

Foto hiasan

Menurut laporan Metro, ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki itu enggan anak mereka dikuarantinkan kerana mahu menaiki penerbangan ke China. Seorang doktor bernama Vimel A/L Thangarajoo Naidu menerima kanak-kanak tersebut sebagai pesakit di sebuah hospital awam di Johor.

Pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mempunyai simptom influenza seperti demam dan batuk. Menurut doktor terbabit, pesakit itu datang ke hospital awam berkenaan atas rujukan sebuah hospital swasta.

Mengikut surat rujukan itu, pesakit mempunyai demam, batuk dan demam kejung yang tidak diakui oleh ibu bapanya. Pemeriksaan dilakukan mengesahkan pesakit mempunyai demam virus yang dipercayai koronavirus.

Laporan lengkap

 

Bapa kepada kanak-kanak itu berdegil untuk tidak menerima nasihat dari pakar untuk dikuarantinkan dan siasatan lanjut terhadap anaknya. Dia hanya merawat anaknya itu dengan memberi ubat demam dan ubat batuk.

Namun, bapa kanak-kanak itu enggan memasukkan anaknya ke hospital terbabit atas sebab mereka mempunyai tiket penerbangan ke China kira-kira jam 10 pagi, hari ini.

Walaupun sudah diberikan penjelasan bahawa pihak berkuasa di lapangan terbang tidak akan membenarkan mereka meneruskan perjalanan berikutan suhu badan anaknya yang tinggi, bapa kanak-kanak itu tidak menerima nasihat dan mahu anaknya dirawat dengan ubat demam dan batuk saja.

Tindakan itu menyebabkan doktor berusia 26 tahun itu terus membuat laporan polis.

Pesakit sudah keluar tanpa notis

Foto hiasan

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintendan Mohd Afzanizam Yahya berkata tindakan terhadap pesakit itu akan diambil dan kini pesakit telah pun discharge.

Laporan diterima daripada seorang doktor yang bertugas di wad kecemasan hospital berkenaan 4.20 pagi tadi. Kami merujuk semula kepada pihak hospital untuk tindakan memandangkan pesakit sudah keluar tanpa notis dibenarkan keluar wad (discharge).

Malah, keluarga pesakit juga enggan dia dipindahkan ke sebuah hospital awal lain untuk dikuarantinkan.

Alamat terakhir pesakit

Malah, keberadaan pesakit itu juga tidak dapat dikesan. Alamat terakhir pesakit itu terletak di sebuah apartmen di Gelang Patah, Johor.

Terbaru, Kanak-kanak warga China berusia dua tahun yang disyaki dijangkiti koronavirus dan dilarikan ibu bapanya itu sudah ditahan semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, 9.20 malam tadi. Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din mengesahkan laporan polis yang dibuat seorang doktor di Hospital Sultanah Aminah awal pagi semalam mengenai kejadian itu.

Ya. Malam tadi mereka sudah ditahan semula di lapangan terbang dan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi tindakan lanjut. Malam tadi juga semua mereka dirujuk ke hospital bagi dikuarantin.

Sumber: Metro

 

SKIP THIS AD ×