Setelah sebulan berpuasa, Syawal menjelma lagi. Walaupun beraya di musim perintah kawalan pergerakan, namun tidak seharusnya rumah dibiarkan bersepah tidak terurus seperti hari-hari biasa. Ini beberapa tips menghias rumah yang mungkin dipandang sepi sebelum ini.
Tukar susun atur perabot
Salah satu cara mudah dan bajet untuk memberi nafas baru kepada ruang rumah adalah dengan menyusun atur semula posisi perabot, hiasan dan aksesori. Susunan baru dengan cara paling optimum pasti mencipta suasana lain tanpa perlu berbelanja lebih untuk barangan hiasan yang mungkin memakan belanja.
Singkirkan elemen hiasan tidak perlu
Untuk keselesaan dan kekemasan ruang, singkirkan segala cenderamata pelbagai negara yang dibeli atau dihadiahkan rakan-rakan. Hiasan sebegini boleh membuatkan rumah kelihatan tidak kemas dan semak dalam masa sama tidak menepati tema sesuatu ruang rumah.
Ubah gaya feature wall
Di Facebook, pelbagai idea feature wall dikongsikan netizen. Antara yang paling popular adalah wainscoting. Sebagai titik tumpu dalam rumah, tidak salah berbelanja sedikit untuk mendapatkan elemen membuatkan rumah kelihatan berbeza dan sejuk mata memandang.
Frame & artwork pada aras pandangan
Frame gambar dan artwork sepatutnya terletak di paras 55 hingga 60 inci dari lantai kerana secara umumnya mata kita terletak di kedudukan ini. Mungkin susunan yang dibuat sesuka hati sebelum ini boleh ditukar dan disusun semula.
Audit susunan
Jangan terlalu mengikut tema dan rigid dengan tema dipilih. Kadang kala satu tema tidak sesuai dengan fungsi atau praktikalitinya. Apa yang tidak perlu boleh diabaikan asalkan ruang rumah kelihatan cantik, kemas dan tidak terlalu padat.