Diam tak diam, dalam masa beberapa hari lagi kita bakal meraikan Syawal. Memandangkan disambut dalam suasana berbeza kerana perintah kawalan pergerakan, ada yang mula berkira-kira untuk membeli baju raya. Tak payah risau, ini beberapa tips untuk melaram baju raya di pagi lebaran tanpa perlu berbelanja.
Gandingan top longgar dengan skirt potongan lurus
Untuk mencipta baju kurung versi minimalis, tidak semestinya memerlukan baju kurung sebenar. Cari sehelai blaus panjang longgar, kemudian padankan dengan skirt labuh pilihan, maka terhasillah satu look yang berbeza namun kekal manis dan sopan. Boleh juga digantikan dengan top pendek untuk hasil ala kurung Kedah.
Tuck-in atau tidak?
Bagi baju kurung moden, ada sesetengah darinya yang boleh digayakan dengan cara ini. Jika kebiasaannya top dibiarkan keluar, bagi mencipta satu padanan baru, boleh juga tuck-in bagi memperlihat satu stail berbeza. Sekali imbas tak ubah seperti dress maxi.
Mix and match kontra
Setelah bertahun-tahun menyimpan baju raya tahun sudah, pastinya banyak yang terperap dalam almari. Tiba masa mengeluarkan semua dan padankan dengan mana berkenan. Untuk mix and match, tidak semestinya perlu dengan tona warna seakan sama, boleh juga memilih warna-warna kontra untuk gaya lebih berani dan berpersonaliti. Barulah fesyen!
Aksesori, aksesori, aksesori!
Sepasang kurung yang kelihatan biasa dan kurang berkarakter akan kelihatan lain hanya dengan tambahan aksesori, contohnya (gambar) tambahan tali pinggang atau pending klasik. Selain aksesori ini, boleh juga cuba aksesori seperti dokoh mahupun kerongsang tiga serangkai bersama baju kurung plain anda.
Tiba masa korek almari nenek
Tiada yang betul-betul baru dalam fesyen, semuanya hanya satu putaran. Apa yang pasti, potongan kurung, kebarung atau pun kebaya tradisi takkan lekang dek zaman. Alang-alang berjimat sempena PKP, apa kata cari semula baju-baju lama nenek atau makcik zaman dulu-dulu yang masih relevan dan evergreen gayanya. Confirm mengimbau kenangan filem hitam putih P. Ramlee!