berita

‘Tak Tahan Duduk Sana, Hari-Hari Kena’ – Abang Allahyarham Dakwa Adik Selalu Kena ‘Ragging’

September 7th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Allahyarham Abdul Aziz Aznam dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 3 bangunan kediaman di kem tentera di Batu Pahat, Johor.

Artikel Berkaitan: Maut Jatuh Tingkat 3, Polis Siasat Dakwaan Anggota Tentera Kemungkinan Dibuli

Susulan daripada insiden itu, ahli keluarga Allahyarham berharap agar pihak berkuasa akan menjalankan siasatan secara adil dan telus.

Berhasrat nak tamat perkhidmatan

Menerusi laporan yang dipetik daripada Sinar Harian, abang Allahyarham iaitu Mohamd Amirulnaim Aznam memaklumkan bahawa mereka kini menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa selain mengharapkan kematian adiknya itu akan terbela.

Menceritakan kisah itu, menurut Amirulnaim, sebelum ini adik bongsunya yang telah menjalani latihan pada 2018 lalu pernah mengadu tidak tahan dibuli di kem sehingga pernah berhasrat untuk menamatkan perkhidmatannya. Tetapi keputusannya itu kurang dipersetujui oleh ahli keluarga malah mereka menganggap ianya perkara biasa selain meminta Allahyarham untuk terus bertahan. Tetapi lama-kelamaan, mereka akhirnya akur dengan keputusan Allahyarham.

Saya perasan sejak Disember tahun lepas, dia selalu cakap tak tahan duduk sana, hari-hari kena, tapi kami anggap itu perkara biasa, sehinggalah arwah ambil keputusan untuk pulang ke rumah dan duduk di sini selama lebih enam bulan.

Sepanjang tempoh dia di rumah, dia nampak betul-betul ceria, tolong mak dan adik beradik lain buat kerja, jadi bila dia beritahu sekali lagi yang dia nak berhenti, kami tak sampai hati dan bersetuju dengan keputusannya itu.

Pulang dalam keadaan tidak terurus

Berita Harian turut melaporkan, Allahyarham pernah mengadu pipinya digosok dengan berus besi dan sering kali ditumbuk. Difahamkan juga, Allahyarham telah pulang ke rumah sekitar Januari lalu dalam keadaan yang tidak terurus selain terdapat parut pada wajahnya.

Parut luka berkenaan dipercayai akibat digosok dengan berus besi dan mangsa didakwa sering kali ditumbuk ketika berada di kem. Arwah lari dari kem sebab tak tahan kena ‘ragging’ dan dia balik ke kampung dengan keadaan yang tidak terurus.

Arwah ada menunjukkan gambar yang diambilnya terdapat kesan lebam-lebam lama di keseluruhan bahagian badan dan dia menyatakan tidak tahan kerana diperlakukan begitu.

Keluarga kini redha

Oleh hal yang demikian, Amirulnaim dan ibunya telah menghantar Allahyarham pulang ke kem pada 28 Ogos lalu untuk tujuan melapor diri dan menguruskan urusan menamatkan perkhidmatannya tetapi siapa sangka tidak sampai 24 jam, mereka telah menerima panggilan mengenai insiden cemas tersebut. Mereka kemudian bergegas ke hospital dan pada ketika itu Allahyarham sudah tidak sedarkan diri.

Lebih meruntun hati apabila sebelum melaporkan diri, Allahyarham telah menyimpan motosikalnya di dalam bilik seolah-olah tahu dia akan ‘pergi’ buat selama-lamanya. Amirulnaim mengakui mereka sekeluarga kini redha dengan pemergian adik bongsunya itu.

Kami reda dengan kejadian ini, namun sedikit terkilan kerana kami hantar dia dalam keadaan yang sihat, tetapi pulang dengan keadaan begini pula.

Selepas 9 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI, Allahyarham disahkan meninggal dunia. Jenazah Allahyarham kini dalam proses dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan, malam ini.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

SKIP THIS AD ×