Penyanyi Syafeek Ikhwan memberitahu kontraknya bersama syarikat rakaman Alternate Records sudah tamat awal tahun ini.
Artikel Berkaitan: Syafeek Ikhwan Tak Suka Orang Ungkit Soal Duit & Gelar Dirinya Bodoh – ‘Semua Orang Ada ‘Trigger Points’ Masing-Masing’
Artikel Berkaitan: ‘Pernah Alami Masalah Anxiety Sehingga Jumpa Psikiatri’ – Syafeek Ikhwan Mohon Masyarakat Bersifat Terbuka Mengenai Isu Kesihatan Mental
Jemputan tidak pernah putus
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Syafeek berkata dia ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam karier seni selepas ini.
Semasa perbincangan selepas menjuarai Lagu Cinta Kita musim ke-3, kami bersetuju untuk bekerjasama selama 2 tahun, iaitu sehingga penghujung 2023. Penamatan kontrak bukanlah perkara asing untuk artis rakaman. Malah saya rasakan perkara ini membolehkan seseorang artis itu terus berevolusi dalam karya mereka dan menjadi lebih kreatif dalam mencorak perjalanan karier.
Tambah Syafeek, dia sangat berterima kasih kepada Alternate Records kerana telah menerbitkan dua buah single solo untuknya iaitu Lafaz dan Alangkah yang mana kedua-duanya dijadikan runut bunyi (OST) drama di TV3.
Disoal mengenai cabaran bergerak solo tanpa syarikat rakaman, Syafeek berkata, secara jujurnya ia belum betul-betul sukar.
Cabaran belum betul-betul sukar sebab sejujurnya saya banyak belajar mengenai industri dan sedikit sebanyak selok belok bidang seni sepanjang tempoh berada dalam industri ini. Walaupun belum betul-betul dikenali, tapi syukur jemputan persembahan tidak pernah putus.
Saya percaya masih ramai yang menghargai bakat kecil seperti saya. Namun dalam masa yang sama saya sangat berharap saya dapat berkongsi bakat ini dengan lebih ramai orang di luar sana, kerana saya seronok apabila melihat orang ramai terhibur dengan apa yang saya persembahkan.
Untuk itu, matlamat saya adalah untuk mempertontonkan bakat yang sedia ada kepada khalayak lebih luas selepas ini dan saya percaya untuk keajaiban seperti itu berlaku saya memerlukan satu pihak yang benar-benar mampu membantu merencana perjalanan tersebut.
Ujar Syafeek lagi, buat masa ini dia mempunyai pembantu yang sentiasa mengikutnya ke mana sahaja apabila ada undangan persembahan pentas, penggambaran dan sebagainya.
Jujur ada beberapa pihak syarikat rakaman yang sudah mula menghubungi dan ingin berbincang lebih lanjut. Cuma saya tidak mahu terburu-buru mengatur langkah kerana saya harapkan percaturan kali ini mendatangkan hasil yang lebih besar untuk saya dan syarikat rakaman.
Di akhir temu bual, Syafeek memberitahu buat sementara waktu pihak di luar sana boleh menghubungi pembantunya iaitu Syam menerusi no telefon 0192850400 atau emel ke [email protected] untuk urusan kerja.