Perkembangan terkini penyanyi versatil Anita Sarawak sering menjadi tanda tanya selepas tidak lagi aktif di dalam dunia hiburan sejak tahun 2011.
Artikel Berkaitan: ‘Dia Belum Bertudung, Badan Agak Berisi’- 10 Tahun Tak Berhubung, Noor Kumalasari Tergamam Dengar Suara Anita Sarawak
Artikel Berkaitan: Sedekad Menghilang, Ini Khabar Terbaru Dari Anita Sarawak & Suami
Keadaan Anita & suami
Terbaharu, penulis lirik dan bekas wartawan hiburan iaitu Roslen Fadzil memuat naik tentang keadaan terkini penyanyi tersebut berserta sekeping foto bersama suaminya, Mahathir Abdullah.
Menurut Roslen atau mesra disapa Slen, pada Oktober lalu dia telah mencuba untuk mendapatkan Anita yang kini menetap di Amerika Syarikat demi membantu seorang promoter konsert yang mahu melihat penyanyi itu kembali beraksi.
Hakikat ini kerana promoter berkenaan berhasrat menganjurkan sebuah konsert mega tribute buat komposer legenda, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan di Kuala Lumpur sekitar 2025.
Lantaran Anita menjadi salah seorang bintang handalan yang turut tersenarai dalam kertas cadangan itu untuk beraksi dalam konsert mega itu bersama ramai lagi penghibur lain yang pernah digilap oleh Adnan. Anita pernah merakamkan lagu Cintamu Muzik Di Hatiku ciptaan Adnan daripada lirik karya Seri Bayu.
Slen kemudian cuba menghubungi Anita menerusi bantuan daripada adik angkat penyanyi terkenal tersebut iaitu Shuib Taib.
Demi mendapatkan Anita, saya meminta bantuan adik angkat Anita yang juga bekas wartawan, Shuib Taib untuk menghubungi Anita dan suaminya di Las Vegas, dengan harapan mereka akan bersetuju.
Sesudah Shuib berjaya menghubungi mereka, akhirnya kami mendapat jawapan daripada Mahathir melalui WhatsApp.
Mesej daripada suami Anita
Suami kepada penyanyi tersebut membalas kiriman mesej berkenaan dengan menzahirkan rasa sedih mereka selepas kehilangan komposer berbakat besar itu.
Hi Shuib. Terima Kasih kerana sudi menghubungi. Apabila saya memaklumkan kepada Anita tentang konsert tribute Adnan, dia merasa begitu sedih, terkenangkan waktu yang pernah dikongsi bersama Adnan, salah seorang produser terbaik sepanjang zaman.
Harap kirimkan salam kami kepada ahli keluarga Adnan dan beritahu mereka bahawa mereka seharusnya berbangga dengan bakat unik dan hebat ayah mereka itu.
Walau bagaimanapun, Mahathir turut memohon maaf berikutan Anita tidak dapat melakukan persembahan dan kini lebih selesa dengan kehidupan secara privasi.
Berhubung undangan persembahan itu, Anita ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tanda ingatan terhadapnya.
Bagaimanapun, seperti yang diketahui, Anita sudah pun bersara ke arah kehidupan yang berbeza, lebih privasi dan selesa dengan situasi sekarang. Jadi mohon sampaikan kemaafan kami kepada pihak penganjur dan kami amat menghargai segala tanda ingatan.
Demikianlah catatan Mahathir dengan penuh budi bahasa. Jawapan yang mungkin mengecewakan jutaan peminat Anita Sarawak namun itulah hakikat perubahan yang telah terjadi kepada penyanyi Akhirnya Kini Pasti itu.
Terdahulu, kehilangan Anita Sarawak telah menimpulkan pelbagai persoalan dalam kalangan warganet dan para peminat. Malah, tiada siapa pun yang mengetahui kehidupan sebenar Anita selepas meninggalkan industri seni tanah air.
Sumber: IG Roslen Fadzil