berita

Tanjak, Busana & Pakaian Dari Bendera? Lelaki Ini Senarai 20 Adab Bendera Malaysia

August 22nd, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Seperti yang kita tahu, Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan pada setiap tanggal 31 Ogos. Yang menyeronokkan, rakyat dari pelbagai kaum turut mengambil kesempatan meraikan hari bersejarah ini dengan pelbagai cara.

Bagaimanapun, perkongsian pengguna Facebook Muhd Azin Azhari ini mungkin akan membuka mata rakyat Malaysia tentang ‘kekhilafan’ kita meraikan hari yang penting ini.

Salah pakai tanjak, busana dan pakaian dari bendera

Bukan niat untuk menuding jari, tetapi lelaki ini cuba untuk menjelaskan tentang kesalahan sesetengah daripada kita meraikan hari bermakna ini dengan memakai tanjak, busana dan pakaian dari bendera Malaysia.

Katanya, masih ramai yang belum tahu bahawa tradisi memakai tanjak daripada bahan bendera Malaysia tidak elok sebenarnya.

Ini kerana memotong kain bendera sahaja sudah membawa maksud menghina sebuah negara. Lebih teruk kalau bendera Malaysia dipotong dan dibuat pakaian.

Rahsia dan etika tentang bendera Malaysia

Bagi memberi penjelasan kepada umum, lelaki ini kemudian senaraikan 20 rahsia tentang bendera Malaysia yang kita sendiri mungkin belum tahu.

Prof Abdul Muati Ahmad kongsikan antara 20 perkara yang perlu kita tahu mengenai rahsia bendera dan adab-adab sewaktu mengendalikannya.

1. Jika bendera hendak dipasang pada tiang besar seperti pada bangunan pejabat atau sekolah, ia hendaklah dinaikkan menggunakan tali pada pagi hari dan diturunkan pada petang hari. Lazimnya di Malaysia bendera dinaikkan pada jam 7 pagi dan diturunkan sebelum jam 7 mlm.

2. Sewaktu dinaik dan diturunkan, bendera tidak boleh dibiarkan meleret ke tanah. Sama ada ia ditatang atau diselipangkan di bahu.

3. Orang yang menaik dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas. Tidak boleh pakai pakaian yang mencolok mata, atau pakai kain sarung yang disenteng ke paras lutut, tidak berbaju, tidak berkasut dsbnya. Jangan hisap rokok atau vape semasa menaikkan bendera.

4. Bendera hendaklah dinaikkan perlahan-lahan. Diturunkan pun perlahan-lahan. Jangan tergesa-gesa.

5. Orang yang berada di sekitar tiang tersebut hendaklah berdiri sewaktu bendera dinaikkan.

6. Jika ada kematian pembesar dan bendera hendak dikibarkan separuh tiang, maka ia hendaklah dinaikkan hingga ke puncak dulu, kemudian diturunkan perlahan-lahan ke separuh tiang, tanda berkabung.

7. Bendera tidak boleh dikibarkan dalam gelap. Jika mahu dikibarkan pada malam hari, maka bendera perlu disuluh dengan ‘spot light’.

Hormati bendera, bukan untuk dibuat lapik atau tutup kepala

8. Bendera tidak sesekali boleh dibiarkan mencecah tanah. Ini tanda tidak hormat kepada negara.

9. Bendera tidak boleh dibuat kain kelubung untuk menutup kepala pada hari panas.

10. Bendera tidak sama sekali boleh dibuat lapik duduk. Oleh itu paling tidak sesuai jika bendera dijadikan seluar.

Boleh ke bendera dibuat baju

11. Boleh dengan syarat memotong kain lain yang mempunyai warna bendera. Tidak sepatutnya bendera dipotong untuk dibuat baju. Memotong bendera bererti tidak menghormati negara.

12. Bendera tidak sama sekali boleh dibuat stokin atau kasut / selipar. Kita lihat banyak juga selipar yang dicetak bendera Union Jack. Itu adalah perbuatan tidak hormat pada bendera. Jangan ikut perangai mereka.

‘Tips’ memasang bendera dengan betul

13. Jika bendera hendak dipasang pada kereta, pastikan ia dipasang teguh. Banyak yang tercabut dan jatuh ke jalan sehingga dilenyek kenderaan lain. Ini tidak menghormati bendera. Jika dipasang pada kereta pastikan ia diikat atau dilekatkan dengan kuat.

14. Jika hendak dipasang pada lori atau bas, pastikan tidak terlalu besar hingga mengganggu pengguna jalanraya lain. Kita suka pasang yang besar-besar. Apabila lori berhenti di lampu merah, benderanya menutup muka penunggang motosikal. Ini sungguh tidak bertimbang rasa.

15. Bendera boleh digunakan untuk selimut pemenang sukan tanda kejayaan negara, tapi awas… jangan sampai meleret ke tanah.

16. Bendera boleh digunakan untuk menutup keranda perajurit, tetapi jangan bawa masuk ke dalam liang kubur.

Kalau bendera lusuh atau koyak, bakar dan bukan dibuang

17. Jangan pijak bendera negara sendiri atau bendera negara orang lain. Jika ada rakyat negara jiran yang pijak bendera kita, jangan ikut. Mereka memang tolol. Kita cerdik. Jika kita ikut mereka, kita juga akan dilihat tidak cerdik.

18. Bendera yang telah lusuh warnanya, atau telah koyak akibat dikibarkan terlalu lama hendaklah dimusnahkan. Cara musnahkan bendera ialah dengan dibakar. Jangan buang bendera lama di tong sampah atau tong kitar semula. Jangan kibarkan bendera yang lusuh atau yang sudah koyak atau tinggal separuh. Nampak sangat sengkek dan lekehnya kita.

19. Bendera yang masih cantik dan sempurna jangan dibakar. Meskipun bendera itu kita beli dangan wang kita sendiri. Membakar bendera adalah tanda tidak hormat kepada negara. Ingat yang kita beli hanya kain, yang kita bakar adalah simbol maruah negara.

20. Bolehkah bendera digantung terbalik? Boleh. Itu tandanya negara berada dalam keadaan bahaya (distress). Jadi jika negara tidak dalam keadaan bahaya, jangan diterbalikkan bendera.

Sumber: Facebook Muhd Azim Azhari, Destarmelayu.blogspot

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×