Sebelum ini OHBULAN! pernah menulis artikel mengenai Tasha Shilla yang menjual biskut raya di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tidak mengendahkan statusnya sebagai selebriti, Tasha Shilla tetap menjual biskut rayanya di tempat terbuka.
Namun, dia ketika ditemui pada 9 Ogos lepas telah memberitahu bahawa kini kedainya telah pun ditutup disebabkan stok yang sudah pun habis dijual.
“Saya telah membuka kedai biskut raya saya selama 2 minggu dan kesemua stok telah pun habis dijual,” ujar Tasha Shilla.
Pelakon yang sering dikaitkan dengan gosip-gosip panas ini turut memberitahu bahawa dia telah mengutip keuntungan lebih dari yang dijangkanya. Ditanya apakah yang akan dilakukan dengan keuntungan tersebut, sambil tergelak Tasha menjawab, “Saya akan gunakan duit untung ini untuk membeli perabot baru di rumah.”
Ketika membuka booth di “Bazar Terbaik Raya TV3” yang telah diadakan selama 2 hari di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama minggu lepas, Tasha turut memberitahu bahawa dia telah mengaut lebih RM5000 keuntungan dalam masa sehari.
Baguslah kalau begitu, sekurang-kurangnya sekarang kita tahu, Tasha sememangnya menggunakan hasil titik peluh sendiri untuk menikmati kemewahan yang dimilikinya sekarang.