Kemalangan melibatkan dua buah lori di kawasan berhampiran Rehat dan Rawat (RnR) Seremban semalam telah menyebabkan trafik sesak selama beberapa jam. Malah, kemalangan itu turut meragut tiga nyawa penunggang motorsikal selain tong gas petroleum cecair (LPG) berselerak sehingga menghalang lalu lintas.
Mangsa yang terlibat dalam kemalangan ini telah pun dikenalpasti. Menerusi maklumat yang viral di media sosial ketika ini, mangsa Muhammad Idham Baharudin bersama pemboncengnya Nurul Farah Safwannah sedang berada di tepi jalan sementara menunggu bantuan tiba untuk membaiki motorsikal yang rosak sebelum dirempuh lori.
Tayar motor pecah
Menurut info yang dimuatnaik pengguna Instagram, Mykoo berkata motorsikal mangsa Idham Baharudin mengalami kerosakan sehingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu di bahu jalan sehingga bantuan tiba. Kejadian tidak disangka sehingga menyebabkan lori merempuh dan mangsa tersepit di bawah lori.
Lori simen dari arah belakang
Menurut laporan Metro, kemalangan itu membabitkan empat buah kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha Y15, motosikal Honda EX5, sebuah lori membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) dan lori simen.
Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Muhammad Idham dari Seremban ke Kajang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di lorong kecemasan. Abdul Hafis yang berada di belakang berhenti dan memberi bantuan kepada penunggang serta pembonceng terbabit.
Lori membawa muatan LPG dari arah sama berhenti di lorong kecemasan dan turut membantu. Selepas itu, datang lori simen dari arah belakang lalu melanggar lori LPG berkenaan menyebabkan lori itu bergerak ke hadapan dan merempuh empat mangsa.
Pemandu lori simen turut meninggal dunia
Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa yang dipercayai kekasih dan pemandu lori simen itu telah meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala mangsa yang cedera juga dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.
Pemandu lori simen turut meninggal dunia. Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat. Mangsa yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Sumber: Metro, Info Roadblock JPJ/Polis