“Tajuk sekadar mainan, cerita menjadi pedoman.” – EA.
Pada yang masih bercuti, sudahkah anda fikirkan aktiviti apa yang paling sesuai dilakukan pada minggu ini? Atau mungkin mahu keluar bersama kekasih, tetapi berfikiran ‘movie is too mainstream’?
Menerusi lakonan penggiat teater, Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin, sebuah pementasan berjudul “Antologi Neo-Romantik” bakal memberikan satu kelainan pada para penonton. Selain suasana baru kepada mereka yang tidak pernah menonton teater, konsep teater ini sendiri memberikan pengalaman unik pada penonton.
Ia menggunakan konsep ‘Play Within The Play’ dan ‘Poor Theater’ yang mana hanya menampilkan dua orang pelakon sahaja, dan seratus peratus pementasan hanyalah bergantung pada kekuatan lakonan, skrip dan arahan sahaja. Kaedah ini akan membuat jalan cerita teater bergerak secara non-linear dan tidak hanya bertumpu pada satu subjek atau tempat sahaja. Penonton akan dibawa ke dalam cerita yang mempunyai cerita dan cerita lagi.
Sinopsis
Asyraf dan Najua merupakan pasangan selebriti (pelakon) yang sudah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun. Sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang kesepuluh, pihak TV Sensasi melalui rancangan bual bicara terhangat “Neo-Romantik” menjemput mereka untuk menjadi pengacara bagi minggu tersebut.
Rancangan bual bicara “Neo-Romantik” adalah sebuah rancangan yang menampilkan hos berbeza setiap minggu. Dan hos tersebut mestilah pasangan selebriti yang telah berkahwin dan melalui kehidupan bersama dengan bahagia. Melalui rancangan bual bicara “Neo-Romantik” ini, Asyraf dan Najua akan menceritakan kembali susur galur bibik pertemuan antara mereka hinggalah bahagianya mereka kini sebagai pasangan suami isteri.
Rancangan ini terbahagi kepada dua (2) segmen. Segmen yang pertama ialah mereka melakonkan kembali babak-babak percintaan awal antara mereka secara langsung (live) dihadapan kamera dan dihadapan penonton yang hadir. Manakala segmen kedua pula ialah merupakan sesi soal jawab antara pengacara dan penonton yang hadir di studio. Dan lazimnya dalam sesi soal jawab ini, para penonton cenderung bertanya soalan yang panas-panas dan agak sensitif tentang hubungan mereka, hinggakan sampai satu keadaan ia mungkin menimbulkan perasaan tidak selesa bagi pihak pasangan selebriti tersebut. Mereka bagaimana pun tetap perlu menjawab soalan tersebut.
Dan bahagian yang terpenting, apakah akan berlaku setelah tamat rancangan bual bicara tersebut?
Teater “Antologi Neo-Romantik” bakal dipentaskan pada 14 sehingga 17 Februari ini di Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur. Bermula pada jam 8.30 malam, anda boleh dapatkan tiket pada harga RM25. Untuk maklumat lanjut, layari Facebook disini.